PAS pernah cadang naikkan elaun wira negara

- Advertisement -

Oleh ROSLAN SMS

SEMASA
Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang, ketika membahaskan Belanjawan 2016, beliau pernah mencadangkan agar kerajaan menaikkan elaun wira-wira negara yang menerima anugerah kepahlawanan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Umpamanya elaun bagi penerima anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa atau SP yang merupakan anugerah tertinggi dalam negara iaitu lebih tinggi dari Darjah Kerabat Diraja Malaysia yang diperkenalkan pada 29 Julai 1960 dan digazetkan pada 11 Ogos 1968.

Dalam perbahasannya Ustaz Idris menyebut: “Ia (SP) dianugerahkan kepada mereka yang telah menunjukkan keberanian yang luar biasa dalam situasi yang sangat berbahaya demi negara tercinta. Hari ini kita cuma ada lapan penerima anugerah SP ini yang masih hidup iaitu enam dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).”

- Advertisement -

Dalam perbahasannya beliau mencadangkan agar kadar elaun yang diberikan kepada penerima anugerah keberanian ini disemak semula kerana kali terakhir ia disemak adalah pada bulan Oktober 2009 iaitu melalui Rang Undang-Undang Panglima Gagah Berani (Elaun Kenangan) (Pindaan) 2009.

Lantaran pengorbanan besar wira-wira negara ini yang telah menggadaikan nyawa untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan dalam negara beliau mencadangkan agar elaun kepada penyandang anugerah ini dinaikkan iaitu SP dari RM2,000 kepada RM5,000 sebulan dan bagi Panglima Gagah Berani (PGB) dari RM1,500 kepada RM3,000 sebulan.

Hari ini Ustaz Idris merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan kebetulan semalam menerima kunjungan Datuk Paul Kiong, seorang bekas pegwai polis berpangkat Superintenden penyandang anugerah SP.

Datuk Paul Kiong mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di atas pelantikkan Ustaz Idris sebagai menteri dan berharap agar perjuangan untuk memberikan layanan setimpal kepada bekas wira-wira negara penerima anugerah kepahlawanan ini diteruskan.

Dalam pertemuan itu Ustaz Idris selaku Naib Presiden PAS memberi jaminan akan mencadangkan supaya kerajaan memberi layanan khas dan terbaik kepada bekas-bekas pahlawan negara termasuklah Datuk Paul yang telah berkorban demi negara tercinta. Sesungguhnya keamanan dan kestabilan negara yang kita kecapi hari ini adalah lantaran sumbangan besar para pahlawan negara ini.

Untuk rekod hari ini dari 15 penerima anugerah SP ini sejak 1963, cuma lima yang masih hidup iaitu dari PDRM, Dato’ Syed Mokhtar Syed Zubir Barakahbah, Datuk Paul Kiong, Abdul Razak Mohd Yusof dan Koperal Itim a/k Bijam manakala dari ATM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said. – HARAKAHDAILY 26/10/2021

- Advertisement -