Ayah meninggal di tempat solat – Ahmad Amzad

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU:
Mohammad @ Hashim Abdul Rahman, 83, bapa kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim meninggal dunia sekitar jam 11.30 malam tadi.

Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, beliau tiba di Kuala Terengganu sekitar jam 5.40 pagi ini daripada Putrajaya bersama isteri, Datin Dr Nur Diana Takri serta anak-anaknya.

Menurut beliau, kali terakhir bertemu dengan arwah pada Sabtu lepas yang masih sihat tanpa sebarang penyakit dan mampu menunaikan solat lima waktu dalam keadaan berdiri seperti biasa.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, saya tiba pukul 5.40 pagi tadi di Kuala Terengganu, memandu sendiri daripada Putrajaya bawa pulang isteri dan semua anak-anak.

“Adik saya beritahu semalam pun sihat sahaja. Kali terakhir nampak ba’ (arwah) tutup suis lampu. Dia ada minta ‘vicks’. Ba’ memang seorang yang rajin mengaji Quran dan solat sunat.

“Ma (ibu) saya beritahu dalam pukul 11.00 malam tengok ba’ dalam keadaan sujud dekat tempat solatnya. Bila cuba kejutkan, (arwah) sudah tak ada tindak balas. Masya’Allah, memang tenang sungguh ba’, wajahnya macam (orang) tengah tidur. Pohon doakan ba’ saya,” ujarnya ketika ditemuinya di kediaman Allahyarham Cikgu Hashim di Kampung Durian Burung, pagi ini.

Menurut Amzad, beliau menerima berita sedih itu ketika berada di Putrajaya dan telah dijadualkan akan pulang ke Terengganu pada hari ini bagi memenuhi jemputan program yang diatur.                                     

Kata beliau, bapanya yang dikenali sebagai Cikgu Hashim seorang yang bersifat baik hati, tidak pemarah, pendiam serta mendidik dengan tindakan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Hajah Fatimah @ Bahruni Draman @ Abdul Rahman dan sembilan orang anak, 40 cucu serta sembilan cicit.

Jenazah Allahyarham disolat dan diimamkan oleh Ahmad Amzad di Surau Al-Ikhlas Durian Burung kira-kira jam 10 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Parit, Durian Burung. – HARAKAHDAILY 23/10/2021

- Advertisement -