Ahli Assabiqun tenaga penting perjuangan era sebelum ini

Dato' Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar ahli Sidang Assabiqun Se-Malaysia merupakan tenaga penting perjuangan pada era sebelum ini, kata Pengerusinya, Ustaz Dato’ Dr Mahfodz Mohamed.

Menurutnya, mereka telah bergiat cergas sama ada di peringkat cawangan, kawasan dan dewan-dewan ulamak, pemuda dan muslimat pas di semua peringkat.

Katanya, setelah komited membanting tulang untuk membangunkan perjuangan PAS sejak zaman al-Marhum Pak Yusof Rawa, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam generasi awal kepemimpinan ulamak, maka pada hari ini, kita telah menjadi veteran-veteran perjuangan Islam yang disebutkan oleh al-Marhum Pak Haji Subky Latif sebagai ‘Jasawan PAS.’

- Advertisement -

“Alhamdulillah, kini kita telah berhasil membangunkan generasi penerus perjuangan yang sedangkan giat bergerak dalam kepemimpinan parti di semua peringkat.

“Pun begitu, sebagai ‘as-sabiquun,’ kita pastinya tidak berpuas hati melihat generasi baru bersendirian bangkit menyambung perjuangan PAS, sedangkan kita sendiri masih punya tenaga, pemikiran dan pengalaman yang boleh disumbangkan kepada perjuangan,” ujarnya semasa menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Sidang Assabiqun Se-Malaysia Kali Pertama, hari ini. Konvensyen itu dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dalam konteks itulah, kata beliau signifikannya Sidang Assabiqun Se-Malaysia muncul sebagai wasilah untuk para as-sabiqun melanjutkan perjuangan mereka, di samping menyalurkan seluruh pengalaman bagi membantu generasi muda PAS membina kekuatan.

“Inilah pesanan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Majlis Makan Malam Amal as-Sabiqun pada 8 Februari 2020, bahawa tujuan Sidang Assabiqun Se-Malaysia ditubuhkan adalah supaya kita memahami di sana ada mata rantai perjuangan Islam yang tidak putus, bersambung dan bertali arus, sebagai mana ditegaskan oleh al-Quran, “tampillah kamu sama ada orang tua atau muda, ketika senang dan susah, dengan harta benda dan jiwa raga untuk menegakkan Islam,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, perhimpunan pada hari ini merupakan yang pertama semenjak ditubuhkan pada 2016.

Tambahnya, ia adalah satu langkah besar yang dibuat dalam rangka menjadikan Sidang Assabiqun Se-Malaysia sebagai sebuah sayap penting di dalam perjuangan PAS.

Menurutnya, konvensyen itu diadakan sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 pada tahun ini, yang diadakan di Kuala Terengganu secara hibrid bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa ekoran pendemik Covid 19.

“Konvensyen kita sendiri juga terpaksa kita adalah di atas talian disebab oleh faktor yang sama. Namun begitu, kita tetap bersyukur kepada Allah di atas limpahan kurnia ini sehingga kita dapat bertemu dalam maksud yang telah saya sebutkan tadi,” ujarnya.

Beliau berkata, konvensyen itu tidaklah sebesar Muktamar Dewan-Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS yang akan berlangsung dalam masa yang terdekat ini.

“Namun begitu, dalam konteks perjuangan kita hari ini, Sidang Assabiqun Se-Malaysia tetap mempunyai peranan yang sangat besar di dalam memperkasakan jemaah kita.

“Kerana itu, konvensyen yang julung-julung kali ini mempunyai objektif untuk memantapkan peranan Sidang Assabiqun Se-Malaysia dalam agendanya membantu PAS sebagai rakan strategik kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ sekarang ini, di samping meningkatkan daya istiqamah ahli-ahli di dalam menghadapi cabaran untuk memperkuatkan Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN), serta membantu PAS untuk menyusun strategi bagi mengekalkan penguasaan PAS ke atas kerajaan-kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya.

Dengan matlamat yang besar itu, kata beliau Sidang Assabiqun Se-Malaysia sebagai sebuah badan yang menghimpunkan para pejuang PAS yang telah mencapai usia emas, bermaksud untuk memastikan setiap daripada ahlinya terus memberikan sumbangan dan komitmen di dalam perjuangan menegakkan Islam tanpa memandang usia dan jawatan yang disandang.

“Kita harus mencontohi tokoh-tokoh besar di dalam sejarah perjuangan Islam seperti Abu Ayub al-Ansari dan Abdul Rahman bin Musa bin Nusair yang masih sanggup menjadi hulubalang dan panglima Islam pada usia emas mereka yang mencecah lapan dekad, sehingga Islam kemudiannya dapat menembusi Konstantinople dan Andalusia.

“Begitulah harapan besar kita agar setiap orang daripada ahli PAS dapat merealisasikan gagasan perjuangan tanpa persaraan dan bertemu Allah nanti sebagai seorang pahlawan Islam,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 23/10/2021

- Advertisement -