Kerajaan cari keadah baru atasi isu kemiskinan tegar

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan melalui Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sedang mencari kaedah baru untuk menangani isu kemiskinan tegar yang melibatkan Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata perkara itu diberikan perhatian khusus selepas peningkatan kadar kemiskinan selepas pandemik Covid-19.

Menurutnya, kerajaan sudah mempunyai perancangan untuk dilaksanakan di peringkat pusat, negeri dan daerah bagi menangani isu terbabit agar program ekonomi mampu beri kesan kepada rakyat.

- Advertisement -

“Kita kena cari kaedah baru untuk menangani isu miskin tegar, dahulu 0.4 peratus sekarang mungkin 0.8 peratus lebih selepas Covid-19 dan Kelantan antara negeri paling tinggi.

“Antara caranya ialah kita bercadangan untuk melantik pegawai khusus untuk tangani isu kemiskinan yang penting ialah program yang lebih berkesan, projek bantu tingkat ekonomi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bersama kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini petang tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zunika Mohamed dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.

Kira-kira 100 orang terdiri dari pegawai kanan kerajaan negeri dan pertubuhan perniagaan terlibat dalam sesi libat urus pasca RMK12 diadakan secara online dan fizikal.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli turut memaklumkan kerajaan kemungkinan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, langkah sama turut dilakukan oleh kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar bagi memantau prestasi projek pembangunan asas seperti hospital, jalan raya dan sekolah.

Menurutnya, prestasi projek pembangunan itu pada tahun 2021, sebanyak RM39 bilion diperuntukkan bagi projek itu hanya 46.8 peratus sudah dibelanjakan sehingga 3 Oktober lalu.

Beliau berkata beberapa projek di Kelantan seperti pembinaan Hospital di Bachok dan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli turut mengalami sedikit kelewatan yang akan dipantau dengan sebaik mungkin.

“Apa yang lebih penting ialah pemantauan, jadi Perdana Menteri pun mengambil serius teguran dari ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat baru-baru ini dan sudah pun dibuat tindakan keputusan ini.

“Kelewatan ini berpunca dari masalah tanah, kontrak dan pelbagai lagi masalah yang dihadapi, jadi kita tidak mahu perkara ini berulang setiap tahun,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 9/101/2021

- Advertisement -