KPWKM guna pelbagai strategi bela nasib wanita

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaksanakan pelbagai strategi untuk memastikan golongan tidak berkemampuan, terutama wanita tidak terjebak dalam masalah sosial.

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata usaha itu sebenarnya bukan hanya tugas kementerian tetapi adalah tanggungjawab semua pihak dan merentas kementerian.

- Advertisement -

Katanya, antara strategi berkenaan ialah Program Terapi Keluarga yang bertujuan memperkasakan keluarga yang terlibat dalam masalah dadah dengan menyediakan pengetahuan dan kemahiran bagi memulihkan mereka.

“Usaha ini membabitkan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta disokong pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan.

“Program dijalankan menggunakan kaedah secara fizikal dan dalam talian,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara, hari ini.

Dr Wan Martina meminta kerajaan menyatakan usaha yang dilakukan bagi melindungi dan mencegah golongan tidak berkemampuan, terutama wanita daripada terjebak dalam kes dadah, bunuh diri, kegiatan tidak bermoral dan meminjam daripada Along.

Siti Zailah berkata, program lain ialah perkhidmatan kaunseling dan psikososial melalui agensi kementerian, iaitu Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling motivasi kepada sesiapa sahaja yang mempunyai cabaran dalam kehidupan.

Katanya, perkhidmatan ini dikendalikan oleh kaunselor di daerah dan negeri bagi membantu mereka yang memerlukan.

Selain itu, katanya kementerian menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang ditubuhkan sebagai inisiatif untuk menangani isu keganasan rumah tangga dan masalah sosial.

Beliau berkata, usaha lain yang kementerian lakukan ialah memperkenalkan Talian Kasih 15999, hebahan dan program advokasi psikopendidikan, penubuhan Skuad WAJA, bantuan sokongan di JKM serta program keusahawanan dan peluang pekerjaan. – HARAKAHDAILY 7/10/21

- Advertisement -