Anggota PGA ditahan bawa pendatang asing tanpa izin

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Polis menahan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Lalang Pepuyu, Rantau Panjang, malam tadi dipercayai membawa enam pendatang asing tanpa izin (PATI).

Anggota berpangkat Koperal berusia 33 tahun bersama rakannya berusia 28 tahun merupakan seorang peniaga ditahan jam 10 malam.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, ketika kejadian pihaknya menahan sebuah kenderaan dan siasatan mendapati terdapat dua lelaki Melayu dan lima perempuan serta seorang kanak-kanak warga Thailand dipercayai memasuki negara ini secara haram.

- Advertisement -

“Pada 6 Oktober jam 10 malam ketika anggota membuat rondaan di Lubok Gong Rantau Panjang melihat sebuah kenderaan jenis Hyundai Starex warna hitam.

“Setibanya di Lalang Pepuyu anggota bertugas menahan kenderaan tersebut. Pemeriksaan ke atas kesemua warganegara Thailand didapati mempunyai pasport yang tamat tempoh,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, anggota PGA terbabit mendakwa datang mengambil migran berkenaan untuk dijadikan pekerjanya di sebuah kedai makan di Kuantan, Pahang.

Shafiean juga berkata, migran berkenaan masuk menerusi pangkalan haram di Sungai Golok dan mengaku memasuki negara ini untuk bekerja di kedai makan di Taman Melawati dan Gombak, Selangor.

“Mereka menafikan untuk bekerja di kedai anggota PGA terbabit. Dua suspek terlibat menyewa MPV berkenaan dengan kadar RM450 sehari bagi memudahkan membawa Pati.

“Hasil siasatan, anggota polis itu pernah bertugas di sempadan sebelum dikenakan tindakan disiplin dan dipindahkan ke Pahang,” ujarnya.

Kata beliau pihaknya turut merampas wang tunai RM1,276, mata wang Thailand, telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri.

Menurutnya juga anggota polis bersama rakannya ditahan reman selama 28 hari bermula hari ini di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Katanya mereka disiasat mengikut 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Manakala, PATI ditahan untuk siasatan mengikut 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Shafien turut menegaskan pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk anggota polis yang didapati melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang. – HARAKAHDAILY 7/10/2021

- Advertisement -