KUALA LUMPUR: SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) akan diperluaskan bagi meningkatkan pendapatan pesawah di negara ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Beliau berkata berdasarkan rekod semasa 2021 Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), jumlah pesawah aktif seluruh negara mencecah 320,000 orang di mana sebahagian besarnya berada dalam kategori B40.
Katanya pendapatan purata pesawah di negara ini boleh mencecah RM3,600 sehektar untuk semusim atau RM600 sehektar sebulan, bagi hasil pengeluaran sedia ada berserta sokongan bantuan subsidi dan insentif dari kerajaan.
“Namun, mengambil kira majoriti pesawah individu yang mengusahakan sawah seluas 1.5 hektar ke bawah, pendapatan yang diperoleh sekitar RM900 sebulan dan keadaan ini meletakkan sebahagian besar pesawah berada dalam kategori B40, mengambil kira Had Pendapatan Garis Kemiskinan 2021 yang telah disemak semula sebanyak RM2,208 sebulan.
“Melalui SMART SBB, pesawah akan peroleh hasil paling minimum tujuh tan metrik bagi satu hektar… ada peningkatan pendapatan yang sangat ketara di situ bahkan ada yang mencapai 10 tan metrik bagi satu hektar, justeru kita akan perluaskan program ini,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Nik Muhammad Zawawi menjawab soalan Senator Dr Yaakob Sapari yang ingin tahu mengenai rancangan kerajaan untuk mengeluarkan golongan petani padi daripada menjadi miskin berterusan, memandangkan secara keseluruhan pesawah di Malaysia termasuk dalam golongan miskin di bawah kategori B40.
Beliau berkata dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan pesawah, MAFI telah memperkenalkan sistem jualan padi minimum sebanyak RM1,200 setiap tan metrik dan kerajaan membayar insentif hasil padi sebanyak RM360 setiap tan, dengan syarat padi tersebut dijual di kilang-kilang yang dilesenkan dan berdaftar dengan Padiberas Nasional Berhad.
“MAFI juga giat promosikan penanaman padi penghasilan tinggi seperti padi wangi dan padi pulut dalam negara,” katanya. – BERNAMA