Mangsa banjir diarah pindah ke PPS NADMA, JKM

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Mangsa banjir diarahkan berpindah ke penempatan yang disediakan oleh Agensi Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah ditentukan di sekolah-sekolah yang dikenal pasti.

- Advertisement -

“Di PPS, NADMA dan JKM akan membekalkan keperluan peralatan. Saya sendiri sudah hadir dan melihat sendiri keadaan PPS ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma Darul Aman tengah hari, hari ini.

Jelasnya lagi, penduduk yang terlibat perlu mendaftar di PPS yang disediakan untuk mendapatkan peruntukan yang disediakan sama ada keperluan harian mahupun kewangan untuk bantu baik pulih kerosakan akibat banjir.

“Jangan pindah ikut suka, pergi duduk di rumah adik beradik. Bila tengok rekod, tak register dengan JKM. Itu masalahnya.

“Pindah tempat lain, bila nanti orang lain dapat sumbangan, dia katalah ‘pasal apa aku tak dapat’. Jadi mulalah nak bergaduh,” ujar Sanusi lagi.

PPS di sekolah itu katanya disediakan khemah manakala di sekolah berasrama sudah siap tempat duduk yang selesa.

Oleh itu nasihatnya lagi, patuhlah kepada arahan JKM baharulah sistem yang disusun menjadi elok dan lancar.

Dalam perkembangan lain, mangsa banjir kejadian kepala air Gunung Jerai, 18 Ogos lalu telahpun menerima sumbangan NADMA sebanyak RM500 setiap keluarga. – HARAKAHDAILY 5/10/2021

- Advertisement -