Malaysia miliki standard pengeluaran kenaf fiber

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Malaysia membangun MS Standard Grading Kenaf yang akan dijadikan sebagai penanda aras baru, piawaian gred untuk rujukan pemain industri bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Zuraida Kamaruddin berkata, ia diterajui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara bersama Jabatan Standard Malaysia dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia.

- Advertisement -

Menurutnya, pembangunan inovasi produk dan penambahbaikan standard dalam industri tersebut sesuai dengan tumpuan kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran produk kenaf dalam pelbagai sektor.

“Kita telah capai satu benchmark baru iaitu standard international yang mana kita berjaya untuk mengeluarkan satu standard of production untuk kenaf fiber yang tiada lagi di dunia.

“Kita buat kajian selama empat tahun untuk mengeluarkan standard ini dan ia boleh diterima di negara-negara lain termasuk China dan India yang juga aktif. Mereka juga boleh guna standard kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan dokumen ‘Kenaf Grading Standard’ di Galeri Kenaf Lembaga Kenaf dan Tembakau (LKTN) di Kubang Kerian di sini semalam.

Turut hadir Pengarah LKTN, Idris Mohd Salleh; Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia Shaharul Sadri Alwi dan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Mahpar Atan.

Pada majlis itu Zuraida turut menyaksikan penyerahan dokumen tersebut disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia kepada Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd Salleh.

Zuraida juga berkata, penanaman kenaf yang kini melibatkan 1,000 pengusaha di seluruh negara yang mempunyai potensi besar serta mampu manghasilkan produk hiliran bermutu tinggi.

Antara produk yang mampu dihasilkan kata beliau termasuk penggunaan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) dan pengeluaran produk non-woven fiber yang berasaskan tanaman tersebut. – HARAKAHDAILY 4/10/2021

- Advertisement -