Kedah berjaya kurangkan penggunaan katil wad ICU

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

PENDANG:
Sehingga 2 Oktober lalu, Kedah berjaya mengurangkan jumlah penggunaan katil wad Unit Rawatan Rapi (ICU) kepada 55.6 peratus berbanding 79 peratus sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, kejayaan itu serentak dengan peningkatan kadar vaksinasi lengkap ke 76 peratus.

Namun dalam masa yang sama beliau yakin dalam tempoh dua hingga tiga lagi, tahap vaksinasi lengkap di negeri itu mampu mencapai lebih dari 80 peratus.

- Advertisement -

“Insya-Allah, kita yakin dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi, Kedah mampu mencapai kadar vaksinasi lengkap lebih dari 80 peratus,” demikian katanya ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.

Kedah kini sudah melangkah ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 1 Oktober lalu, semakin drastik menjalankan program vaksinasinya berikutan mendapat bekalan vaksin sebanyak 1.4 juta pada September.

Malah ujar beliau lagi, kadar vaksin dos pertama untuk remaja berumur 12 hingga 17 tahun sehingga 1 Oktober mencecah 76.6 peratus.

“Ini merupakan perkembangan yang baik sejak vaksinasi untuk remaja dimulakan di Kedah pada 20 September lalu.

“Mereka (remaja 12 hingga 17 tahun) ini mendapat suntikan sama ada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam, premis sekolah mahupun outreach yang dibuka sementara di komuniti,” jelas beliau lagi.

Sementara itu menurutnya lagi, vaksinasi satu dos untuk penduduk negeri itu kini telah menjangkau 84 peratus.

Sebelum ini beberapa daerah di negeri itu telah dikenal pasti mempunyai pencapaian vaksin Covid-19 yang agak rendah.

Berikutan itu pelbagai usaha dilakukan termasuk mewujudkan lebih banyak pusat vaksinasi sementara secara outreach di komuniti untuk mempastikan penduduk yang layak menerima suntikan itu.

Bulan lalu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kadar vaksinasi lengkap di Kedah sebanyak 50 peratus manakala individu yang menerima dos pertama melebihi 60 peratus. – HARAKAHDAILY 4/10/2021

- Advertisement -