Kerajaan berjalan seperti biasa, kata KM Melaka

- Advertisement -

JASIN: “Jika ini usaha untuk mengganggu-gugat, terpulanglah. Tapi saya masih di sini dan kerajaan berjalan seperti biasa,” kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengenai politik Melaka selepas timbul desas desus mendakwa Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang pada bila-bila masa.

Enggan mengulas lanjut, Sulaiman menegaskan beliau tidak peduli sama ada ganggu-gugat politik itu terarah kepada kebaikan atau untuk kepentingan sendiri, kerana ia adalah perkara biasa dalam dunia politik.

- Advertisement -

“Saya berdiri di sini, setakat hari ini kerajaan yang ada berjalan seperti biasa dan selagi diberi mandat oleh kerajaan sedia ada untuk memimpin dan menguruskan Melaka ini, saya akan lakukan seperti biasa… dan apabila diminta turun saya akan turun lah,” katanya yang ditemui pemberita di Dewan Datuk Ibrahim Oxford di Ayer Merbau, Bemban di sini hari ini.

Ditanya sama ada mahu mengadakan pertemuan dengan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa akan ‘lompat parti’, Sulaiman menegaskan tiada keperluan untuk pihaknya berbuat demikian.

“Kalau siapa nak jadi Ketua Menteri datanglah, boleh jumpa pihak kepimpinan. Itu saja jika pihak sana cukup SD (akuan bersumpah). Teruskan. Saya seperti biasa, Exco yg lain jalan seperti biasa. Kalau ada SD ke, kata dah cukup 20 ke, teruskan,” katanya.

Pada masa sama, Sulaiman turut menegaskan pihaknya tidak tahu-menahu sama ada wujud gerakan untuk membentuk kerajaan perpaduan seperti yang timbul dalam khabar angin, sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, fokus utamanya kekal terarah kepada segala permasalahan rakyat sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini, dan tidak mahu berbincang lagi mengenai politik kerana ia akan menjadi suatu yang dibenci rakyat.

“Jadi hari ini marilah bersama saya, kita bantu bangunkan Melaka ni. Sampai masa, dalam PRU akan datang, barulah kita bertanding antara satu sama lain,” katanya.

Sejak semalam, suhu politik negeri ini panas selepas timbul desas desus mengatakan Melaka yang diterajui Umno selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dari Pakatan Harapan (PH) Mac lalu, bakal bertukar tangan sekali lagi pada bila-bila masa.

Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH) dan difahamkan, keempat-empat ADUN itu sudah menandatangani SD. – BERNAMA

- Advertisement -