Tingkatkan gaji minimum pekerja tempatan – pakar ekonomi

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed menyarankan kerajaan meningkatkan kadar gaji minimum pekerja tempatan di semua sektor di negara ini.

Menurutnya, terdapat keperluan untuk kerajaan meningkatkannya berikutan krisis ekonomi yang mencengkam sejak penularan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Mengulas lanjut katanya, dalam hal ini, peningkatan gaji minimum dalam konteks pekerja tempatan dan asing perlu diteliti dengan cermat kerana memberi impak sangat besar terhadap pendapatan golongan berkenaan.

Katanya, gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan tidak mencukupi bagi menampung keperluan pekerja tempatan yang menanggung pelbagai kos.

Manakala, bagi pekerja asing, mereka mampu menyimpan sehingga RM1,000 sebulan kerana disediakan pelbagai kemudahan oleh majikan.

“Pekerja tempatan perlu membayar pelbagai pinjaman, termasuk kos utiliti menyebabkan gaji habis digunakan dan mampu bertahan sehingga pertengahan bulan sahaja.

“Tetapi, pekerja asing tidak menanggung sebarang pinjaman, malah segala kemudahan seperti tempat tinggal dan kenderaan disediakan oleh majikan. Mereka hanya membelanjakan kira-kira RM100 hingga RM200 sahaja sebulan bagi keperluan makanan,” katanya dalam BizMalaysia, semalam.

BizMalaysia merupakan program anjuran RTM yang bersiaran secara langsung di TV1 setiap hari Khamis, jam 2 petang.

Dalam pada itu katanya, peluang untuk mencapai purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 menjelang 2025 akan berjaya sekiranya peningkatan gaji minimum mampu direalisasikan.

Ketika membentang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Isnin lepas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyatakan Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup lebih baik dengan jangkaan purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan pada tahun 2025. – HARAKAHDAILY 1/10/2021

- Advertisement -