RMK12 percepat peralihan teknologi IR4.0

Ahmad Amzad menerima kunjungan kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia di pejabatnya.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat, pada 27 September lalu.

Katanya, RMK12 itu bertunjangkan tiga tema yang menumpukan kepada usaha menjana semula ekonomi, memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti serta melonjakkan kemampanan.

- Advertisement -

Teras itu, katnya disokong oleh empat pemangkin dasar yang menumpukan kepada usaha membangunkan bakat masa hadapan, mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi, menambah baik ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan serta memperkukuh perkhidmatan awam bagi mencapai negara yang lebih makmur, inklusif dan mampan.

“Saya juga turut menyambut baik pembentangan RMK12 oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob. Kerajaan telah memberi penekanan untuk mempercepat peralihan kepada teknologi IR4.0 dan transformasi digital yang berasaskan kepada pembangunan tempatan berteknologi tinggi dan ekonomi kurang sentuhan (low touch economy).

“Dua inisiatif nasional yang telah dilancarkan iaitu Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 serta Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MySTIE) diyakini dapat memacu pembangunan teknologi tempatan, sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara yang mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM3.4 trilion menjelang 2030,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Namun, kata beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), krisis Covid-19 telah mendedahkan keperluan untuk negara beralih kepada sektor industri yang mempunyai produktiviti tinggi berasaskan teknologi automasi dan kemahiran tinggi.

“Saya percaya MOSTI di bawah kewibawaan dan pengalaman yang dimiliki Dato’ Seri Dr Adham Baba akan dapat memastikan semua warga kerja kementerian dan agensi-agensi di bawah MOSTI akan berusaha dengan sekuatnya bagi merealisasikan segala perancangan yang dibuat selari dengan tugas hakiki MOSTI sebagai pemacu bidang sains, teknologi dan inovasi,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dengan iltizam yang tinggi, enam sasaran utama yang telah diletakkan di bawah MOSTI akan dapat dicapai menjelang 2025 seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi. – HARAKAHDAILY 1/10/2021

- Advertisement -