Ekonomi digital bakal penggerak utama kemajuan negara

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memberikan petunjuk jelas bahawa kerajaan bakal memperhebatkan ekonomi digital untuk menjana ekonomi negara dan rakyat.

Ini berdasarkan perniagaan berasaskan ekonomi digital mampu menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan unjuran RM70 bilion pelaburan dalam pendigitalan.

- Advertisement -

Profesor Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed, berkata ini juga dapat dilihat berdasarkan inisiatif kerajaan melalui pengenalan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), Februari lalu, mula menampakkan hasil dengan kesan ketara apabila KDNK meningkat 16.1 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2021.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, ia juga disumbangkan menerusi peningkatan sebanyak 20.5 peratus bagi pendapatan sektor perkhidmatan kepada RM404.5 bilion pada suku kedua tahun ini.

“Pendapatan e-dagang meningkat 23.3 peratus kepada RM267.6 bilion berikutan urus niaga e-dagang daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan meningkat,” katanya.

Dr Anuar Shah berkata, Program Shop Malaysia Online menerusi pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tahun lalu, membantu lebih 200,000 usahawan tempatan meningkatkan jualan melalui platform e-dagang dengan nilai transaksi mencecah RM1.8 bilion.

Sehubungan itu, katanya tiga matlamat utama dalam tempoh RMK-12 berkait rapat dalam memperhebatkan penggunaan ekonomi digital antara pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 5.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021 hingga 2025.

Katanya, purata pendapatan isi rumah dianggarkan kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025, manakala jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5 dan Sarawak (1 nisbah 1.2)

“Dalam RMK-12, memperhebatkan ekonomi digital adalah dengan penyediaan infrastruktur membabitkan pelaburan sektor awam dan swasta, bernilai RM28 bilion bagi menambah baik rangkaian 4G dan mempercepatkan pelaksanaan 5G di seluruh negara.

“Projek pembangunan Identiti Digital Nasional 13 sedang dilaksanakan bagi mewujudkan platform pengesahan identiti serta perakuan elektronik selamat dan dipercayai,” katanya.

Beliau berkata, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G lebih luas dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang 2025. – HARAKAHDAILY 1/10/21

- Advertisement -