Agenda MyDIGITAL perhebatkan ekonomi digital negara

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Pelancaran agenda MyDIGITAL mampu menjayakan aspirasi untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi dan pendigitalan, selain menerajui rantau ini dalam ekonomi digital.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Eddin Syazlee Shith, berkata usaha untuk memperhebat ekonomi digital dilaksanakan dengan menyediakan persekitaran yang menyokong pertumbuhan, memperkukuh penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan digital serta membangunkan bakat digital.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan mengambil pelbagai langkah proaktif bagi menyelaraskan usaha pelaksanaan agenda itu, iaitu menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara bagi menetapkan, melaksana serta memantau dasar, strategi dan inisiatif ekonomi digital.

“Kerajaan juga menyediakan perkhidmatan dalam talian, termasuk peringkat awal hingga akhir dan penerimagunaan teknologi digital dalam penyampaian sektor awam bagi memudah cara perniagaan dalam perkembangan ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) di Dewan Rakyat, hari ini.

Eddin Syazlee berkata, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), akan terus komited dengan memberi tumpuan untuk melonjakkan pendigitalan dan teknologi termaju bagi membangunkan ekonomi berasaskan teknologi tinggi.

Katanya, usaha untuk memperhebat ekonomi digital dilaksanakan dengan menyediakan persekitaran yang menyokong pertumbuhan, memperkukuh penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan digital serta membangunkan bakat digital tersedia masa hadapan.

Selain itu, katanya tindakan lain dalam RMK12 ialah menyediakan platform dan pusat pemudah cara setempat untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Ini membolehkan usahawan mengakses pembiayaan, kemudahan dan khidmat nasihat dengan lebih baik bagi melonjakkan aktiviti e-dagang dan PMKS serta memperkenalkan rangka kawal selia dalam menyediakan ekosistem yang kondusif,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga menyelaraskan dasar berkaitan perancangan dan pemasangan infrastruktur digital negara dan memperkenalkan perkhidmatan telekomunikasi sebagai utiliti awam di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam.

Katanya, penambahbaikan rangkaian 4G sedia ada juga dilakukan melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta, bernilai RM28 bilion serta meningkatkan kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk membangunkan pengetahuan dan kemahiran bakat digital tempatan,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 30/9/21

- Advertisement -