Khidmat Malaysia arah anggota siap sedia hadapi banjir

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Khidmat Malaysia menyeru mangsa banjir berhati-hati dengan kawasan banjir dan tidak mengambil risiko meredah arus banjir.

Ketua Pengarahnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata meredah arus banjir sama ada berjalan kaki ataupun menaiki kenderaan ringan dikhuatiri membahayakan nyawa.

Katanya, hal ini kerana sukar untuk memastikan kedalaman air dan kekuatan arus deras semasa banjir berlaku.

“Walaupun fenomena hujan lebat bukan perkara luar biasa, namun faktor kewaspadaan perlu dipertingkatkan kerana ia berpotensi membawa fenomena seperti banjir kilat, tanah runtuh dan kepala air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Khairul Faizi, Khidmat Malaysia menerima laporan berkaitan dengan hujan lebat yang mengakibatkan berlakunya banjir kilat di beberapa tempat di seluruh negara.

Katanya, Ketika ini, Sabah sedang berhadapan dengan banjir akibat kadar penurunan hujan lebat yang berterusan bermula awal pagi tadi sehingga kini.

Situasi itu telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran.

Katanya, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga telah dilaporkan dibuka di Selangor, hari ini.

“Khidmat Malaysia Pusat mengarahkan supaya semua anggota bersiap sedia di semua peringkat bagi menghadapi bencana banjir.

“Bilik Operasi di peringkat negeri dan wilayah diarahkan dibuka untuk tujuan mengemaskini maklumat dan penyaluran laporan kepada Khidmat Malaysia Pusat,” katanya.

Pada Ahad, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada iaitu hujan lebat dijangka berlaku di beberapa lokasi di Sabah dan Labuan, sehingga Selasa.

Semalam, MetMalaysia memaklumkan Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada Jumaat ini dan berterusan sehingga awal November.

Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tipuan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang membawa kepada hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa singkat.

Menurut Ketua Pengarah Met Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, kejadian itu akan berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai bara dan pedalaman semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

Keadaan itu katanya, berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada stuktur yang tidak kukuh. – HARAKAHDAILY 21/9/2021

- Advertisement -