MoU diharap mampu reda suhu politik negara

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) diharap benar-benar mampu meredakan suhu politik negara.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, persefahaman berkenaan diharap dapat mencapai objektif yang diharapkan kerajaan dan rakyat khususnya menangani Covid-19 dan memulih ekonomi negara.

Katanya, negara menghadapi dua perkara utama yang mesti diselesaikan bersama secara bijaksana.

- Advertisement -

“Masalah Covid-19 yang belum reda dan ekonomi yang berlaku kesan daripada serangan virus tersebut perlu penumpuan secara khusus.

“Apabila kerajaan membentangkan sesuatu usul di parlimen, pembangkang hendaklah menyokongnya bagi manfaat rakyat,” katanya selepas menyampaikan sumbangan ‘duit poket’ sebanyak RM500 kepada lima pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Timur Tengah di sini, semalam.

Pada Isnin lepas, kerajaan Persekutuan dan PH mementerai MoU di bangunan Parlimen yang merangkumi enam perkara iaitu pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran dan pembaharuan parlimen.

Selain itu, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, perkembangan baru itu dianggap belum pernah berlaku dalam sejarah negara.

Menurutnya, kerjasama PH yang mewakili pembangkang secara rasmi boleh dianggap sebagai melakar sejarah baru negara.

Katanya juga, apa yang berlaku sebelum ini persetujuan antara kerajaan dengan pembangkang dibuat secara tidak rasmi di parlimen.

“Biarpun ada kerjasama itu pembangkang masih ada peluang mengkritik kerajaan secara membina untuk kebaikan pentadbiran negara.

“Kita akui sebelum ini pembangkang hanya akan membangkang sahaja, tetapi kalau hendak membangkang itu biarlah pada perkara yang munasabah,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

- Advertisement -