Keistimewaan dinikmati penerima vaksin boleh ditarik balik

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Tidak mustahil keistimewaan yang dinikmati penerima vaksin lengkap ditarik balik sekiranya kes positif Covid-19 mencatatkan peningkatan semula.

Sehubungan itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani mengingatkan rakyat Malaysia untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

- Advertisement -

Katanya, kelonggaran yang diberikan kerajaan kepada penerima vaksin lengkap boleh menjadi satu motivasi kepada individu yang belum mendaftarkan diri di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Sektor pelancongan, premis perniagaan, pusat rekreasi dan banyak lagi tempat sudah dibuka semula dengan syarat pengunjung menerima sijil lengkap vaksin.

“Jadi, secara tidak langsung, mungkin ini memberi motivasi kepada mereka yang belum membuat keputusan untuk mendapatkan vaksin, bahkan menjadi keistimewaan kepada mereka yang dapat dua dos vaksin.

“Tetapi, keistimewaan itu boleh ditarik semula kalau kes meningkat disebabkan pengabaian SOP,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Selain itu, Dr Mohd Dzulkhairi turut mengajak rakyat Malaysia menyegerakan pengambilan vaksin memandangkan vaksin terbukti menghalang jangkitan yang serius.

Ini dapat dilihat melalui pengurangan kes kemasukan pesakit positif Covid-19 ke hospital dan wad unit rawatan rapi (ICU) di negeri atau negara yang mencatatkan peratusan vaksin lengkap tinggi.

Mengulas lanjut katanya, walaupun penerima vaksin lengkap diberi keistimewaan untuk beraktiviti di luar rumah, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa menjaga jarak fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

“Kita hendaklah ingat Covid-19 masih ada bersama kita. Kalau keluar pastikan jaga penjarakan fizikal. Kalau hendak berkelah, pastikan ada jarak dengan keluarga lain dan keluar bila perlu,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) merekodkan sebanyak 76.2 peratus daripada populasi dewasa negara ini sudah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

- Advertisement -