Pesakit terlantar, warga emas disuntik di rumah

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

BACHOK: Lebih 100 pesakit terlantar di kawasan Dewan Undangan (Dun) Pantai Irama menerima suntikan vaksin di rumah masing-masing.

Adun kawasan berkenaan, Mohd Huzaimy Che Husin berkata, pihaknya mula turun ’menjejak’ pesakit kronik dan warga emas bermula kelmarin.

Katanya, program itu bagi meringan beban golongan berkenaan dan mereka tidak perlu lagi pergi ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) di Parlimen Bachok atau Dun berkenaan.

- Advertisement -

“Selain PPV dan outreach juga diadakan di Kompleks Pusat Islam (KPI), Majlis Daerah Bachok dan Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok, kami menggerakkan program suntik vaksin dari rumah ke rumah.

“Alhamdulillah, pada program yang bermula semalam seramai 32 pesakit terlantar berjaya divaksinkan.

“Hari ini pula dianggarkan 18 orang akan divaksin kepada pesakit terlantar dan warga emas di Mukim Kemasin dan Pantai Damak,” katanya ketika ditemui pada berkenaan semalam.

Menurutnya juga berdasar rekod terdapat lebih 100 pesakit terlantar di Dun Pantai Irama yang mendapat manfaat program berkenaan.

Team berkenaan disertai 16 kakitangan termasuk dari Klinik Beris Kubor Besar, Jabatan Amal Malaysia (Bachok), penghulu mukim dan Pejabat Pusat Khidmat Dun Pantai Irama.

Mohd Huzaimy turut melahirkan rasa syukur memandangkan orang ramai di Bachok mulai sedar kepentingan menerima suntikan vaksin.

Menurutnya juga sehingga sekarang sebanyak 83 peratus penduduk di Dun berkenaan sudah divaksin dos pertama, manakala dos kedua sebanyak 52 peratus.

Beliau berkata, peratus berkenaan akan meningkat dengan mengambil kira program suntikan vaksin dari rumah ke rumah yang diadakan. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -