Apa yang Guan Eng mahu sebenarnya?

- Advertisement -

DAP sememangnya tidak pernah senang dengan PAS. Mereka mahu menggambarkan PAS ini sebagai sebuah gerakan politik yang ekstrem yang kononnya tidak toleran dan mahu memaksa rakyat Malaysia yang berbilang agama menerima Islam. Harapan mereka bukan sahaja masyarakat bukan-Melayu akan menolak PAS malah jika boleh masyarakat Melayu pun mahu dihasut agar membenci PAS.

Kenyataan terbaru Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang dipetik Malaysian Insight cukup mengelirukan dan paling biadab. Ia bukti kebencian DAP terhadap PAS. Rang Undang-undang Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah Persekutuan) yang mahu dibentangkan di Parlimen bukannya RUU PAS walaupun Menteri dan Timbalan Menteri di JPM Hal Ehwal Agama kedua-duanya orang PAS.

- Advertisement -

Ia Rang Undang-undang kerajaan, bukannya PAS. Tetapi Guan Eng mendesak Perdana Menteri agar menolak RUU ini. Rang Undang-undang ini diserang kononnya mahu mengganggu kebebasan warganegara bukan-Islam. Kononnya ia mahu menyekat pengembangan agama bukan-Islam dalam negara. Tuduhan ini cukup jahat dan mahu membangkitkan api kemarahan sedangkan hakikatnya ia tidak begitu.

Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara telah sedia memperuntukkan kawalan ke atas pengembangan agama selain Islam di kalangan para penganut Islam dalam negara. Ia bukan bermaksud mengawal pengembangan agama bukan-Islam sesama masyarakat bukan-Islam. Yang dilarang adalah apabila ia disebarkan di kalangan masyarakat Islam.

Agama selain Islam bebas diamal dan disebarkan sesama bukan-Islam, itulah amalan kita sejak dahulu lagi. Zaman berzaman sejak sebelum Merdeka lagi penduduk di tanah air kita mengamalkan toleransi beragama. Hidup rukun damai walau berbeza agama dan budaya. Semua menerima Islam sebagai agama umat Melayu, penduduk majoriti yang merupakan penghuni asal dalam negara. Kerana itu hak umat Melayu Islam mengamalkan agama mereka tidak pernah diganggu termasuklah memastikan tiada umat Islam yang menukar agama kerana dipengaruhi agama lain.

Kenapa Guan Eng berang dengan RUU ini yang merupakan undang-undang yang mahu digunapakai untuk menyelamatkan akidah umat Islam. Apakah Guan Eng tidak prihatin pada agama dan kepercayaan umat Islam? Apakah Guan Eng mahu mencadangkan yang semua agama bebas menyebarkan kepercayaan mereka termasuk pada umat Islam? Bukalah mata dan telinga kita seluas-luasnya. Inilah DAP yang sebenar.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 15/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1596812267324770&set=a.267246050281405&type=3

- Advertisement -