Ada MoU atau tidak, perangai tetap sama

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong turut meluahkan perasaan kecewa apabila ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) membuat kecoh lagi di Dewan Rakyat.

Katanya, walaupun Memorandum Persefahaman (MoU) diaeterai antara kerajaan dan PH kelmarin, namun Dewan Rakyat yang bersidang semalam tetap kecoh.

Kata beliau ada ahli parlimen PH menyebut “Apa punya mangkuk” ketika waktu pertanyaan kepada menteri.

Advertisement

Menurutnya, ungkapan seorang ahli Parlimen itu mencetuskan kontroversi apabila dia mempersoalkan jawapan Menteri Dalam Negeri.

“Penggunaan ayat seperti itu tidak patut diungkapkan oleh Ahli Parlimen di Dewan yang mulia. Baik ada MoU atau tidak, perangai tetap sama, masih belum berubah, masih belum matang,” katanya pada hantaran di media sosialnya semalam.

Petang kelmarin kerajaan dan PH menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di Dewan Bankuet Parlimen.

Bagaimanapun pada persidangan Dewan Rakyat semalam menyaksikan kekecohan tetap berlaku sehingga ahli parlimen DAP dari Jelutong RSN Rayer diarah keluar dewan.

Timbalan Speaker Dato’ Mohd Rashid Hasnon mengarah ahli parlimen terbabit keluar apabila enggan menarik balik perkataan ‘memalukan’ terhadap speaker.   

Dr Wee yang juga Menteri Pengangkutan berkata, situasi itu merupakan cabaran terbesar untuk menjayakan transformasi Parlimen dan mengekalkan kestabilan politik.

“Keikhlasan perlu ada pada semua pihak dan perlu ada anjakan paradigma. Doakan yang terbaik buat Keluarga Malaysia,” katanya.

Menurutnya juga beliau turut menghadiri detik bersejarah apabila kerajaan dan pembangkang mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan rakyat serta negara.

“Ini juga membuktikan demokrasi di Malaysia terus subur dan matang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/9/2021