Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Setiap ahli Parlimen perlu menjunjung tinggi dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Malah, mereka perlu bertindak segera untuk merealisasikan segala titah berkenaan, kata penganalisis politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
Katanya, rakyat sangat memerlukan sokongan serta pertolongan segera kerana kesukaran untuk membina semula kehidupan kesan Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
“Apabila Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian, ini menandakan bahawa Tuanku sangat serius dan prihatin mengenai kehidupan rakyat,” katanya mengulas mengenai Titah Diraja sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, hari ini.
Mohammad Tawfik berkata, sebagai ketua negara dan payung kepada seluruh rakyat Malaysia, Baginda bertindak sebaiknya menggunakan kuasa yang ada selaras Perlembagaan Persekutuan.
“Saya yakin, selaras dengan titah Baginda hari ini, akan mencetuskan wajah baru politik negara dengan Ahli Parlimen akan mengutamakan suara dan kehendak rakyat,” katanya.
Beliau turut menasihati Ahli Parlimen untuk bersatu hati serta bekerjasama bagi memulihkan dan membangunkan ekonomi negara.
“Ketepikan perbezaan politik segera, demi rakyat dan membangunkan semula negara.
“Biarlah kita berbeza ideologi politik, pandangan dan idea, tetapi berkongsi cita-cita yang sama untuk mengembalikan kegemilangan negara,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar wakil rakyat dan semua agensi kerajaan perlu bertindak proaktif dengan turun padang untuk meninjau dan menyelami isu rakyat secara lebih dekat serta memantau pencapaian program diumumkan kerajaan.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, beberapa perkara perlu diberi tumpuan termasuk program jaringan keselamatan sosial seperti inisiatif Wilayah Cakna, Skim Wilayah Bebas Berniaga dan Program Usahawan Anak Muda Kota.
Selain itu, Baginda bertitah supaya semua pihak tidak lagi meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu. – HARAKAHDAILY 13/9/2021