Varian Mu pula masuk dalam senarai virus Covid-19

- Advertisement -

BRISBANE: Satu lagi varian baharu muncul dalam kekalutan pandemik Covid-19. Varian yang dinamakan sebagai Mu adalah dalam kategori Variant of Interest (VOI) ditemui buat kali pertama di Colombia, Januari lalu.

Varian Mu kini dikesan di 39 negara, tetapi setakat ini dikatakan tidak membawa kesan buruk seperti varian Delta.

- Advertisement -

Bagaimanapun, varian ini mengalami mutasi yang boleh menyebabkan dapat melepasi perlindungan melalui vaksin sedia ada.

Sejak dikenal pasti Januari lalu, varian Mu kelihatan tidak dapat mengatasi Delta, varian yang menyebabkan gelombang baharu penularan Covid-19 di seluruh dunia.

Profesor Madya Paul Griffin dari Universiti Queensland, berkata pengkaji Covid-19 berpandangan bahawa jika benar Mu mendatangkan kesan bahaya, dunia sudah boleh melihat gelombang baharu varian itu, tetapi kebimbangan itu belum menjadi kenyataan.

Pakar penyakit berjangkit itu berkata, sesetengah mutasi boleh menyebabkan virus merebak dengan lebih pantas, mampu mengatasi perlindungan vaksin sedia ada, malah melepasi ujian pengesanan Covid-19.

“Jika terdapat perubahan pada virus seperti boleh berkembang menjadi lebih bahaya, sesuatu virus akan dinaik taraf menjadi VOI.

“Setakat ini, Mu dikategorikan sebagai VOI, sama seperti Eta, Iota, Kappa dan Lambda. Jika terdapat bukti baharu Mu menjadi lebih serius dan mengatasi varian lain seperti Delta, baharulah Mu dinaik taraf menjadi Variant of Concern (VOC) seperti Alpha, Beta, Gamma dan Delta,” katanya memberitahu World Economic Forum.

Griffin berkata, kebanyakan vaksin Covid-19 menyasarkan `spike protein’ virus untuk memasuki sel manusia. Vaksin akan mendedahkan tubuh manusia kepada satu bahagian virus yang membolehkan sistem imunisasi mempelajari cara melawan virus.

Katanya, jika `spike protein’ dalam varian virus mengalami perubahan ketara, ini akan mengurangkan keberkesanan vaksin sedia ada.

Setakat ini, katanya bukti awal yang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perolehi mendapati varian Mu boleh melepasi sesetengah antibodi yang manusia terima dari vaksinasi.

“Bagaimanapun, data yang diperolehi adalah dari kajian makmal. Kita tidak pasti sejauh mana varian ini akan bertindak dalam masyarakat. Lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk melihat kesan varian ini dalam tubuh manusia,” katanya.

Bagaimanapun, Griffin memberi khabar gembira kerana katanya, vaksin sedia ada melindungi dengan baik daripada kesan buruk semua varian Covid-19.

Cuma beliau mengingatkan bahawa ada kemungkinan besar varian baharu akan muncul pada suatu hari nanti yang dapat melepasi perlindungan vaksin.

Katanya, sukar untuk menyatakan waktu kemunculan virus itu, tetapi penularan yang berleluasa di kalangan masyarakat boleh meningkatkan kemunculan virus itu.

“Pengeluar vaksin Covid-19 perlu bersedia menghadapi kemungkinan ini dengan memajukan vaksin baharu yang dapat melindungi manusia.

“Sebaik sahaja vaksin bahaya itu ditemui, pengeluar vaksin perlu melakukan pengubahsuaian terhadap vaksin sedia ada supaya dapat menandingi virus itu, jika boleh dalam tempoh antara 6 hingga 8 minggu,” katanya.

- Advertisement -