Muslimat PAS Sabah bantu mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh FADILAH NORDIN

KOTA KINABALU:
Banjir telah melanda beberapa daerah di Sabah seperti Beaufort, Membakut, Sipitang, Kota Belud, Keningau dan beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu bermula 3 September akibat hujan lebat berpanjangan.

Menurut Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (LKK DMPNS), Nur Izzati Yusof, banjir yang melanda Beaufort dan Membakut kali ini lebih teruk daripada sebelum ini.

“Setelah meredah kawasan hutan, melalui jambatan gantung dan merentasi sungai, alhamdulillah kami berjaya menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir,” katanya.

- Advertisement -

Tambahnya, keadaan terkini, banjir yang melanda di beberapa kawasan dan kampung di sekitar Pantai Barat Kota Kinabalu sudah mulai surut.

Katanya, keadaan cuaca di sekitar Kota Kinabalu pun telah mulai cerah dan tiada lagi hujan.

Beliau berkata, kejayaan misi bantuan kali ini adalah hasil usaha sama dengan NGO Muslim Care Malaysia Society, Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Malaysia, NGO Sabah Relief dan PAS Kawasan Beaufort.

“Sama-sama kita doakan semoga tiada lagi banjir yang berlaku yang akan memusnahkan tempat tinggal para penduduk.

“Buat semua penyumbang, semoga Allah redha dan lipat gandakan dengan rezeki yang lebih baik,” ujarnya ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir sekitar Membakut dan Beaufort semalam.

Seramai 130 keluarga di Kampung Sinoko dan Kampung Baitam menerima sumbangan barangan dapur berupa beras, telur, gula, biskut, minyak masak, serbuk kopi dan sardin.

Seorang penduduk, Irine Piang Sin, 68, amat berterima kasih atas sumbangan yang telah diberikan di kala mereka ditimpa musibah dan berharap agar PAS terus melaksanakan kerja-kerja kebajikan membantu lebih ramai masyarakat yang memerlukan.

Turut hadir bersama Timbalan Pengerusi Sabah Relief, Mohd Tarmizi Mohd Yahya serta Yang Dipertua dan Ketua Muslimat PAS Kawasan Beaufort, Ukashah Md Zubi dan Zanariah Mohd Zainin.

LKK DMPNS telah melancarkan Tabung Derma Kilat Banjir Sabah pada 3 September lepas. Setakat ni bantuan telah disalurkan ke daerah Beaufort, Membakut dan beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu yang dilanda banjir. – HARAKAHDAILY 7/9/2021

- Advertisement -