Penduduk tengok setiap hari ambulans keluar masuk

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

- Advertisement -

PASIR MAS: Penduduk di Kampung Repek dekat sini sudah menjangkakan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memandangkan berlaku peningkatan jumlah kes positif Covid-19.

Seorang penduduk, Rohana Abdullah, 39 berkata, beliau menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan kerana bimbang peningkatan kes Covid-19.

Katanya, hampir setiap hari beliau melihat ambulans keluar masuk mengambil pasakit Covid-19 di kampung terbabit.

“Memandangkan PKPD yang dilaksanakan itu merupakan kali pertama sudah pasti ada segelintir penduduk gelisah memikirkan soal kerja dan sebagainya.

“Bagi mereka yang berniaga pula tertanya-tanya sama ada boleh berniaga atau tidak,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau juga berharap penduduk di kawasan terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPD bagi memastikan tiada lagi penularan wabak yang membimbangkan semua pihak.

Seorang lagi penduduk Nabiha Abd Aziz mengakui agak terkilan kerana beliau baru sahaja membuka kedai tudung seminggu lalu.

Namun katanya beliau terpaksa akur sekiranya kedainya perlu ditutup semula susulan pelaksanaan PKPD demi keselamatan orang ramai.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Supritenden Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata pihaknya akan mengawal ketat PKPD di kampung terbabit bagi memastikan penduduk mengikut arahan yang ditetapkan.

Jelasnya, PKPD bukan sengaja dilakukan untuk menyusahkan penduduk sebaliknya bertujuan mengurangkan kes serta memastikan penularan wabak tidak lagi berlaku.

Baru-baru ini Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan tiga kampung di Pasir Mas di Kelantan dikenakan PKPD melibatkan Mukim Pasir dan Mukim Gual Periok.

Ia meliputi Kampung Bayu Lalang dan sebahagian Kampung Banggol Kemian. Selain itu melibatkan sebahagian Kampung Repek susulan Kluster Jalan Engku Muda yang menjangkiti 13 orang. – HARAKAHDAILY 30/8/2021

- Advertisement -