Terus jadi pilihan, 609 serah borang sertai PAS

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: PAS Kawasan Indera Mahkota telah menerima 609 borang permohonan keahlian baharu PAS yang diserahkan kepada ADUN Beserah, Andansura Rabu di Putra Balok Kuantan, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Kesemua pemohon adalah dalam kalangan penduduk setempat di mana telah bertekad memilih PAS sebagai wadah perjuangan bagi memartabatkan Islam yang syumul di Malaysia selaras dengan tujuan penubuhannya.

Penerimaan permohonan tersebut juga selaras dengan kempen “PAS Pilihanku – Jom sertai PAS” yang telah dilancarkan pada 19 Jun lalu di mana berjaya menambah lagi ahli di semua peringkat sejak daripada itu.

Menurut Andansura selaku juga Yang Dipertua PAS Indera Mahkota, ini adalah bukti bahawa PAS semakin mendapat keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan rakyat Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 1951.

Menurutnya lagi penubuhan PAS di negara ini adalah bertujuan untuk memperjuangkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya terdapat nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

“PAS juga berjuang mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

“PAS sentiasa teguh menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan dengan petunjuk Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak Ulamak dan Qias sebagai rujukan,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Tambah beliau lagi, kempen ini adalah inisiatif yang berterusan dan ianya telah dirancakkan sempena dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi pelbagai pendekatan.

Andansura turut melahirkan rasa setinggi penghargaan kepada mereka yang telah menjayakan kempen bagi penambahan ahli dan juga kalangan telah menghantar borang permohonan tersebut.

Beliau berharap agar bilangan ahli PAS akan terus bertambah dan bagi mereka yang berminat untuk mendaftar boleh berhubung dengan ahli dan pimpinan PAS di tempat masing-masing. – HARAKAHDAILY 29/8/2021

- Advertisement -