PAS cadang polisi ‘Sifar Pusat Judi dan Kelab Malam’

Pembuat dasar perlu 'reset' kehidupan rakyat pasca-pandemik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pahang perlu mengadakan polisi baharu ‘Sifar Pusat Judi dan Kelab Malam’ pasca-pandemik COVID-19, demikian cadangan dikemuka Andansura Rabu (PAS-Beserah).

Menurut beliau, penularan jangkitan COVID-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan telah memberi rekod positif apabila statistik jenayah telah dapat diturunkan di negeri itu.

“Kerana aktiviti luar rumah selepas jam tertentu tidak dibenarkan. Pusat hiburan, kelab malam dan perjudian atau tempat-tempat berkumpul seperti ini ditutup. Tiada kes pecah rumah kerana orang berada di rumah masing-masing.

“Tiada lagi bergaduh disebabkan mabuk. Anak-anak juga tidak lagi keluar rumah dan mereka dapat dikawal ibu ayah,” ujarnya semasa membahas Titah Pemangku DiRaja pada Sidang DUN Pahang di Wisma di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

Menurut beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, para Ahli Dewan Negeri selaku pembuat dasar telah diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk melakukan semula ‘reset‘ kehidupan ke arah lebih diredhai-Nya.

Dicelah beberapa ADUN untuk pusat judi dan kasino di Genting Highlands ditutup, beliau bersetuju dengan perkara itu kerana sepanjang tempoh ini tidak ada sebarang masalah apabila ia tidak beroperasi.

Jelasnya, untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T mestilah mengikut perintah syariat-Nya kerana dengan duit banyak semata-mata tidak akan membawa kejayaan kepada kehidupan rakyat dan kemakmuran negeri.

Andansura turut menyentuh mengenai perlunya merangka perancangan yang selari dengan perubahan dan semangat sosiologi dan psikososial rakyat setelah lebih dua tahun melalui kesan pandemik.

“Sebagai pihak yang diberi amanah (kepimpinan), perlulah kita merangka pelan tindakan komprehensif dan strategik untuk kelangsungan kehidupan. Selepas ini kita akan melangkah ke Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN)

“Awasan atau kewaspadaan sebelum melangkah ke fasa berikutnya perlu lihat kesiapsiagaan kita untuk memastikan kes jangkitan tidak lagi menular selepas itu,” ujar beliau melihat 42 peratus populasi dewasa yang sudah divaksin di negeri itu masih rendah.

Persediaan itu katanya, amat penting bagi membolehkan semua sektor dibenarkan beroperasi nanti dapat bergerak sepenuhnya, sekali gus menuntut bekalan vaksin secukupnya segera diperolehi dan diutamakan yang telah mendaftar.

Beliau dalam perbahasannya turut memberi perhatian kepada isu sumber tenaga manusia yang masih gagal dipenuhi sebaiknya di sebalik pelaburan masuk sebanyak RM6.8 bilion diterima negeri Pahang.

Mengambil contoh satu tawaran kerja di Gabeng yang dibuka bagi 3,000 kekosongan, namun ianya hanya dapat dipenuhi oleh 10 individu kerana permohonan lain tidak mencapai tahap pengetahuan dan kemahiran dikehendaki.

Oleh itu, beliau berharap agar satu usaha melibatkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terdapat di negeri itu dapat diadakan ke arah memenuhi keperluan tenaga kerja mahir diperlukan para pelabur di negeri itu.

Keprihatinan beliau turut disuarakannya mengenai isu penduduk di Kampung Chendor, Beserah yang telah menduduki di situ sejak 40 tahun lalu, namun permohonan tanah mereka tidak dipenuhi oleh kerajaan.

Sebaliknya tanah tersebut telah diserahkan kepada satu agensi dan beliau berharap demi kebajikan para penduduk berkenaan ianya diselesaikan dengan kerajaan negeri bertindak sebagai pemudah cara kepada kedua-dua pihak. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -
- Advertisement -