Muhyiddin Yassin pemimpin berjiwa besar

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketika tumpuan terarah ke Istana Negara hari ini, namun harapan majoriti rakyat masih menggunung terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengharungi cabaran pandemik Covid-19.

Setidak-tidaknya rakyat masih meletak harapan tinggi supaya pemimpin politik mengenepikan agenda peribadi bagi menghadapi situasi sukar sekarang.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berharap semua pihak berlapang dada dalam menghadapi ‘perang’ dengan wabak yang melanda negara dan seluruh dunia sekarang.

Abdul Latiff Abdul Rahman

Beliau mengajak semua pihak bersama perangi wabak dan berdoa kepada Allah SWT dengan sepenuh jiwa dan raga agar semua terhindar dan selamat.

“Rakyat adalah keutamaan terpenting yang seharusnya berada di sudut hati dan nurani pemimpin.

“Selepas wabak selesai, pilihan raya akan diadakan secepat mungkin dan pada waktu itu pembentukan sebuah kerajaan baru akan ditentukan oleh rakyat,” katanya di sini.

Steve Mositun

Pengerusi Majlis Pemuda Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Steve Mositun juga berharap tumpuan diberi bagi menyelesaikan krisis kesihatan dan pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Kata beliau semua pihak perlu mengabaikan seketika kepentingan politik bagi membantu kerajaan menstabilkan krisis politik semasa demi kesejahteraan rakyat.

“Menggantikan kerajaan pada masa ini tidak menjamin berakhir krisis Covid-19. Adalah lebih baik semua pihak berada dalam satu pasukan yang sama untuk kepentingan rakyat.

“Kita suka atau tidak pilihan raya umum akan diadakan pada Julai 2022, seperti yang dijanjikan perdana menteri, tetapi sekarang masanya untuk memberi tumpuan kepada rakyat,” katanya pada satu kenyataan semalam.

Pada Jumaat lepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan kerjasama rentas parti sebagai tawaran bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara.

Steve juga berkata, kesejahteraan rakyat seharusnya menjadi agenda utama dalam krisis Covid-19 ini dan bukannya menggantikan kerajaan.

Kata beliau kerjasama semua pihak di negara ini membolehkan semua pihak duduk bersama dan menyatukan sumber dan idea membawa Malaysia keluar daripada krisis Covid-19.

Bendahari Majlis Ayahanda Malaysia (Masia), Zamrin Hamzah pula berkata, pembangkang wajar menerima tawaran dibuat perdana menteri dengan tangan terbuka demi kepentingan rakyat dan negara.

“Tan Sri Muhyiddin amat berjiwa besar apabila memberikan tawaran itu walaupun tahu akan dikecam pihak pembangkang.

“Demi rakyat dan negara, kerajaan PN rela berkongsi kuasa dengan pembangkang demi memerangi Covid-19,” katanya pada satu kenyataan. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -