Sebahagian sangkaan dosa?

- Advertisement -

BERHATI-hatilah dalam mengurus persepsi daripada media sosial (medsos). Banyak informasi yang tak berguna merayau-rayau laksana varian Delta mencari mangsanya. Macam-macam jenis sampah yang sedang membusuk dan mencemarkan udara dan persekitaran dunia medsos. Varian ini lagilah bahaya daripada varian Delta mengenai kesannya di dunia dan di akhirat sana.

Para arwah yang meninggal akibat COVID-19, ada yang diberi pahala syahid, dikaffarah dosanya dan ditetapkan kedudukan istimewa di alam sana. Sedangkan orang mati dalam keadaan memikul dosanya dan dosa orang yang difitnahnya sudah tentu celakalah di sana jika tidak beroleh kemaafan tuannya. Adapun di dunia ini ditarik keberkatan hidupnya.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T di dalam Surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, …(sehingga akhir ayat).”

Allah sebut sebahagian sangkaan itu adalah dosa. Maksudnya sangkaan jahat, kerana ia adalah daripada sifat Mazmumah (sifat yang dikeji oleh syarak). Adapun baik sangka itu sifat Mahmudah (sifat yang dipuji oleh syarak). Sebahagian yang lainnya ada sangkaan yang dilakukan oleh perawat-perawat perubatan Islam dalam mengenal pasti masalah dengan firasat untuk berusaha mengubati atau merawat pesakit. Begitu jugalah para doktor dan pelbagai pihak yang berfirasat. Itupun bergantung dengan syarak dari sudut baik dan buruknya.

Persepsi yang timbul dari berita melalui ucapan, tulisan ataupun gambaran sama ada statik atau berdurasi boleh mempengaruhi sesiapa yang menghadapnya dengan pelbagai sangkaan. Cetusan sangkaan itu ada hukumnya sama ada beroleh pahala atau dosa.

Fitnah berangkai yang berlaku secara maya ini menyaksikan ramai penagihnya. Pembuat fitnah sudah sampai tahap ketagih dan terketar-ketar memuntahnya. Para posmen maya pula sibuk mengutuskan tularannya dengan penuh kegigihan dan tak kurang juga yang sudah ketagih. Sudah tentu tukang fitnah dan posmen maya itu ada sangkaan mereka.

Jangan ingat landskap maya, tak ada perkiraan dosa, pahala dan tak ada malaikat yang mencatatnya. Sangkaan jahat kepada ahli kebaikan sangatlah dilarang. Mengikut Syeikh Tsa’labi di dalam menafsirkan ayat 12 daripada surah Al-Hujurat tersebut, beliau menyebut:

“Jangan kamu jahat sangkaan terhadap ahli kebaikan kerana jahat sangkaan itu mendatangkan dosa.”

Adapun orang yang terkenal dengan melakukan perbuatan yang mendatangkan keraguan dan terang-terangan melakukan perbuatan yang jahat dan tercela. Maka harus bagi seseorang dengan sangkaan jahat terhadapnya kerana berjaga-jaga dengan kejahatan mereka.

Menulis dengan tujuan mengaibkan, membunuh karakter seseorang, memfitnah, menyumpah seranah, memaki hamun yang sedang berlegar dalam medsos kini sangat berbeza dengan tulisan-tulisan dalam bentuk memberi peringatan, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Akibatnya juga berbeza iaitu ada beroleh dosa dan ada yang beroleh pahalanya.

Pendek kata, segala amalan manusia yang mukallaf ada perhitungan dosa pahala. Ingatlah! Kita berada di dunia ini bermula selepas dilahirkan menuju stesen kematian itu penuh ujian-ujian kelayakan, sama ada ke syurga atau ke neraka akhirnya. Antara peringatan sesama kita, bagi yang membaca tulisan ini bahawa berhati-hatilah dengan sangkaan atau pra sangka yang terhasil dari persepsi. Uruslah dengan sebaik-baiknya.

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 16/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100001777352221/posts/4254156057986931/

- Advertisement -