Covid-19: PM berharap trend penurunan berterusan

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap trend penurunan akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes Covid-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

- Advertisement -

Menurutnya, Menteri Penyelaras Pelan Pemuihan Negara (PPN) Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menjelaskan bahawa matlamat utama Fasa 1 PPN ialah untuk menurunkan bilangan kes harian, meningkatkan kadar vaksinasi, menggalakkan setiap negeri untuk beralih ke Fasa 2 dan paling penting untuk menurunkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, kerajaan melalui Greater Klang Valley Special Task Force (GKVSTF) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) sememangnya sedang bertungkus-lumus untuk meredakan situasi di Lembah Klang.

“Alhamdulillah, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media pada 13 Ogos 2021 menyatakan bahawa Operasi Lonjakan Kapasiti (Operation Surge Capacity) di Lembah Klang sejak 26 Julai lalu telah menyaksikan kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur mula menunjukkan penurunan.

“Kita juga sudah mula melihat perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri iaitu di Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya),” ujarnya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, semalam buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan di WP Labuan.

Menurutnya, data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin Covid-19 bagi populasi dewasa ((18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus.

Pada masa yang sama, ujarnya data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi Hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.

Contohnya, kata beliau purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun.

Beliau berkata, pada 31 Julai lalu, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang.

“Alhamdulillah, hasil perancangan rapi Kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos 2021.

“Saya amat berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes Covid-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun, ujar beliau kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa.

“Oleh itu, segeralah mendaftar untuk dapatkan vaksinasi, termasuk bagi ibu hamil dan remaja dalam kumpulan umur yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksinasi,” kata beliau.

Beliau menambah, majikan juga perlu mainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka termasuk pekerja asing mendapat vaksinasi. – HARAKAHDAILY 15/8/2021

- Advertisement -