Kemudahan sektor ekonomi diharap legakan rakyat

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan amat berharap kemudahan-kemudahan yang diumumkan berhubung kemudahan sektor ekonomi hari ini bukan sahaja dapat memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat dari sudut emosi dan kesihatan mental malah turut membantu memulihkan semula secara berperingkat situasi khususnya kumpulan yang terlibat dalam sektor ekonomi.

Justeru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ingin tegaskan sekali lagi bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis, mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta SOP-SOP yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, jika berlaku jangkitan di premis yang menerima kemudahan-kemudahan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenalpasti melanggar SOP.

“Sekali lagi saya ingin mengingatkan, kemudahan yang diberi bukan bermakna rakyat telah mendapat kebebasan mutlak. Setiap SOP, garis panduan dan prosedur mesti dipatuhi sebaiknya,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Pengumuman beliau tu berkaitan kemudahan sektor perdagangan dan pengedaran Fasa 1 PPN, kemudahan sektor perdagangan dan pengedaran Fasa 2 PPN, kemudahan beroperasi bagi sector pembuatan, pembinaan,  perlombongan dan pengkuarian, kebenaran mengunjungi taman rekreasi awam bagi tujuan riadah dan projek perintis destinasi gelembung pelancongan.

Tambahnya, amalan pemakaian pelitup muka, melaksanakan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihatan kendiri juga mesti diteruskan oleh setiap lapisan masyarakat.

“Virus Covid-19 masih berada di persekitaran dan kita mestilah terus berjuang bersama-sama untuk memeranginya habis-habisan. Insya-Allah kita menang bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/8/2021

- Advertisement -