PM umum persefahaman rentas parti politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan persefahaman rentas parti sekiranya usul undi percaya terhadapnya dilulus di parlimen.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga menghargai peranan Ketua Pembangkang dengan mengiktirafnya di mana akan diberi saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.

Katanya, pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat.

- Advertisement -

“Kami telah mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar Perikatan Nasional untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

“Ini akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

“Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat,” katanya perutusan khas Bersama Memulihkan Negara petang ini.

Hadir sama pada perutusan khas itu Menteri Kanan termasuk Dato’ Seri Hishamuddin Hussien, Dato’ Seri Azmin Ali, Dato’ Dr Radzi Jidin dan Menteri Sumber Asli dan Air Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif.

Menurutnya stabil dengan dukungan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang.

Kata beliau ia bagi membolehkan pembangkang memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -