PRU15 selewat-lewatnya Julai 2022

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan selewat-lewatnya Julai tahun hadapan.

Menurut Muhyiddin, mandat memilih kerajaan wajar dipulangkan semula kepada rakyat apabila tiba masa yang lebih sesuai.

Justeru, dalam tempoh itu beliau mencadangkan rangka persefahaman rentas parti dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.

- Advertisement -

“Bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa PRU15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan.

“Tujuan saya kemukakan cadangan ini ialah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

“Pada masa yang sama, saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera.

“Maka, saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan,” ujarnya ketika menyampaikan Perutusan Khas Perdana Menteri, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, bagi menjayakan cadangan tersebut beliau akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politikuntuk menghadiri perbincangan ini.

Katanya, pihaknya bersedia untuk mendengar pandangan kesemua ahli-ahli Parlimen berhubung cadangan itu.

“Sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

“Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -