PM tegas tolak kes rasuah perlu jadi dasar kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mesti diberi peluang sepenuhnya melaksanakan amanah membanteras rasuah tanpa gangguan dan campur tangan politik.

Pengerusi Gerakan Jihad Rakyat, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Dato’ Seri Dr Awang Sariyan berkata, ketegasan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan tunduk menggugurkan kes tokoh tertentu mesti dijadikan dasar kerajaan secara menyeluruh.

Katanya guna Dewan Rakyat sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah rasuah, dengan menggubal undang-undang yang berkesan untuk membendung rasuah.

- Advertisement -

“Dewan Rakyat tidak patut dijadikan gelanggang perebutan kuasa. Saya kecewa apabila ada pemimpin yang berpegang pada teori politik Barat, iaitu memperoleh kuasa sehingga lupa untuk membina negara yang diberkati Allah SWT.

“Sebagai ahli parlimen yang menggubal undang-undang, apa peranan dan langkah mereka untuk memecahkan rangkaian rasuah. Di mana liciknya si pelaku rasuah sehingga tidak kelihatan berlaku, sedangkan ia benar-benar berlaku,” katanya di sini baru-baru ini.

Baru-baru ini perdana menteri mendedahkan pihak yang mencetus polemik politik sekarang kecewa dan tidak senang dengan ketegasannya tidak membantu membebaskan individu tertentu yang didakwa atas kesalahan jenayah di mahkamah.

Dr Awang juga berharap semua pihak terutama media, institusi agama dan pertubuhan perlu menjalankan kempen besar-besaran rasuah sebagai satu dosa besar, jenayah dan najis.

Menurutnya juga media perlu membentuk pendapat awam yang menolak rasuah.

“Biar kita terbuang daripada jawatan tetapi jangan kita terbuang daripada rahmat Allah,” katanya.

Beliau juga berkata, penghayatan dan kepatuhan kepada nilai agama sudah hampir luntur menyebabkan masyarakat menjadi kabur tentang perkara yang benar dan salah.

Kata beliau sistem pendidikan agama perlu dibaiki sama ada di peringkat pendidikan formal, keluarga dan kemasyarakatan.

Menurutnya pendidikan formal pada 1988 ada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyepadukan nilai akhlak, namun sekarang amalan pendidikan bersepadu itu merosot.

“Selagi pendidikan negara masih lagi berorentasi peperiksaan dan pencapaian akademik, dan bukan soal pemikiran, maka pendidikan tidak akan dapat melahirkan insan mempunyai nilai jati diri dan akhlak yang tinggi.

Dr Awang juga bimbang wujud dalam masyarakat golongan yang bersifat tamak dan tidak cukup dengan rezeki yang ada sehingga mencari peluang rasuah tanpa menghitung soal keberkatan.

Beliau turut berharap warga kerja SPRM mesti membuktikan integriti yang tinggi dalam pelaksanaan amanah tanpa tunduk atau berkompromi dengan mana-mana pihak.

Katanya juga soal kawalan dan penguatkuasaan masih kurang berkesan walaupun ada SPRM serta mekanisma yang lain sehingga ketirisan serta campur tangan politik masih berlaku.

Tegas beliau, perubahan sistem nilai itu menyebabkan rasuah seakan-akan sudah diterima sebagai satu ‘nilai senyap’ dalam kehidupan masyarakat sekarang.

“Suatu hal yang sangat buruk kalau dibenarkan jenayah rasuah sebagai satu sistem nilai yang diterima.

“Ini tidak boleh diterima kerana merencatkan produktiviti negara, menghakis keadilan dan menghancurkan keluarga, masyarakat dan negara,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2021

- Advertisement -