Kesusahan rakyat dapat perhatian Sultan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Perpaduan umat Islam dan kesusahan hidup rakyat dalam keadaan pandemik Covid-19 sekarang mendapat perhatian Sultan Selangor, Johor dan pemangku Sultan Pahang, dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, semalam.

Turut mendapat perhatian ialah kepentingan umat Islam menjadikan perpaduan sebagai matlamat perjuangan serta meninggalkan sifat buruk seperti menyebarkan fitnah dan dengki sesama umat Islam.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah supaya semua pihak bersatu padu dan mengamalkan sikap tolong menolong tanpa mengira agama, warna kulit mahu pun fahaman politik.

- Advertisement -

“Ini bukan masa untuk berebut kuasa, bersengketa atau banyak berbicara tanpa melakukan apa-apa tindakan. Kita harus menang dalam peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan ini,” titah Baginda sempena majlis perasmian sambutan Maal Hijrah peringkat Pahang secara dalam talian, semalam.

Baginda juga meminta semua pihak berganding bahu untuk sentiasa prihatin terhadap keadaan rakyat yang memerlukan bantuan.

“Semua pihak, sama ada kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta, penghulu, ketua kampung serta jawatankuasa masjid dan surau, perlu prihatin dengan keadaan rakyat.

“Saya tidak mahu ada rakyat berada dalam kelaparan kerana tidak mempunyai makanan serta keperluan asas lain untuk meneruskan kehidupan. Satu bakul makanan berharga lebih kurang RM100 mungkin kecil kepada kita, tetapi pada mereka yang susah, amat besar nilainya,” titah Baginda.

Begitu juga titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, yang menzahirkan kekecewaan apabila terdapat segelintir pemimpin yang mengganggu pemerintahan kerajaan dan berebut kuasa ketika rakyat dalam kesusahan.

Baginda bertitah, perebutan kuasa mengganggu kakitangan awam kerajaan untuk memberi tumpuan terhadap urusan pentadbiran dan dikhuatiri boleh menyebabkan ekonomi negara merudum dan pelabur hilang keyakinan untuk melabur dalam negara.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil akibat wabak Covid-19, tidak mustahil keadaan negara bertambah malang apabila dibebani dengan perkara yang tidak sepatutnya berlaku ini.

“Demi mencapai matlamat perebutan kuasa politik, ada ahli politik sanggup menggunakan media sosial untuk melemparkan fitnah kepada pihak lawan,” titah Baginda.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, pula bertitah supaya umat Islam tidak bersikap dengki dan menyebarkan fitnah kerana boleh meruntuhkan perpaduan dan memberi kesan buruk kepada generasi akan datang.

“Jauhilah perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran serta sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat orang munafik,” titah Baginda pada perutusan sempena sambutan Maal Hijrah, semalam. – HARAKAHDAILY 11/8/2021

- Advertisement -