Jangan terpengaruh provokasi musuh mahu kuasai kerajaan

Nasrudin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara aman dan maju apabila rakyatnya berkasih sayang dan bersatu padu, kata Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan.

- Advertisement -

Sebaliknya, kata beliau negara terdedah kepada kelemahan dan kepincangan apabila rakyat dan pemimpin mereka saling bercakaran tidak sudah-sudah.

“Pertelingkahan terbuka tanpa gelanggang ini pasti membawa padah. Menang jadi arang, kalah jadi abu.

“Inilah realiti berakhirnya sebuah perbalahan sesama umat,” ujarnya menerusi laman Facebook Al Bayaanul Mubin.

Menurutnya, musuh yang akan mengaut keuntungan sebebasnya bak kata bidalan orang berpengalaman, alu dan lesung berlaga antara satu sama lain tetapi yang kenyangnya ayam.

Tambahnya, tanpa disedari, musuh sedang ketawa sinis melihat kita kehilangan arah dan tenggelam dalam keegoan masing-masing dengan saling menuding dan mencari salah sesama umat Islam dan orang Melayu.

“Awalnya untuk menegakkan agenda perjuangan masing-masing, tetapi gagal untuk mengesan pergerakan musuh yang mencuri peluang dan memanfaatkan ruang yang retak antara kita.

“Saya faham, kita berbeza idea, pandangan, pendekatan dan sebagainya. Tetapi bukankah kita juga masih ada rasa kasih pada agama dan negara?

“Justeru itu, kenapa kita bagaikan hilang panduan dan tidak bertemu meja yang bentuknya bulat untuk kita duduk bersama berbincang bagi merealisasikan kasih kita pada agama dan negara serta seluruh penghuninya yang sedang berdepan dengan Covid-19 ini?” ujarnya.

Pada hemat beliau, katanya masih belum terlambat untuk semua kita duduk bersama bagi melunaskan rasa kasih pada agama dan negara ini dengan satu tindakan yang strategik sekali gus menutup semua ruang dan peluang yang bakal dimanfaatkan oleh musuh.

Namun, ujarnya janganlah duduk hanya kerana mahu menegakkan idea dan pandangan masing-masing, tetapi duduklah dengan perasaan yang tenang, minda yang jernih, sikap yang lunak, muka yang manis, langkah yang tertib untuk mencari titik kebersamaan demi masa depan agama, negara dan ummah keseluruhannya.

Beliau berkata, sikap bertolak ansur, memaafkan dan lapang dada adalah skil positif yang perlu dimiliki oleh para pemimpin politik umat Islam di negara ini dan tentunya itulah ramuan mujarab untuk membina keutuhan sebuah perpaduan dan pastinya impak perpaduan ummah akan turut dirasai kemanisannya oleh masyarakat terbanyak termasuk dari kalangan non-Muslim.

“Jangan mudah terguris dengan khilaf yang berlaku, jangan benarkan diri terperangkap dalam propaganda pihak yang mahu meruntuhkan perpaduan ummah serta tidak terpengaruh dengan provokasi licik pihak musuh yang mahu menguasai kerajaan kita dan negara lalu mereka bertindak pantas atas keretakan dan perpecahan sesama umat Islam.

“Bukankah damai itu indah dan bersatu itu kuat? Lalu kenapa kita memilih untuk kelihatan comot dan longlai di hadapan umum dengan mewujudkan pertelingkahan dan mengapi-apikan pertembungan di antara kita?” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -