Jangan ambil kesempatan kemuka sijil vaksin palsu

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

TUMPAT:
Polis Kelantan mengingatkan orang ramai tidak menyalahgunakan kelonggaran syarat prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri dan daerah seperti mengemukakan sijil vaksin yang palsu.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, individu yang sudah lengkap vaksin boleh menunjukkan Sijil Vaksinasi Covid-19 secara digital menerusi MySejahtera di telefon bimbit atau bercetak.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, kaedah tapisan dan pemeriksaan terhadap sijil vaksin secara terperinci sedang dibincangkan di peringkat tertinggi bagi menggunakan kaedah yang sesuai.

“Ia untuk mengelak daripada berlaku sebarang kes penipuan dan sebagainya. Apa yang penting sementara waktu ini bagi mereka yang telah melengkapkan dua dos vaksin perlu mengemukakan dokumen melalui aplikasi MySejahtera atau secara bercetak kepada polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR).

“Bagaimanapun, kita ada kaedah yang akan diputuskan memandangkan ia merupakan perkara baru, InsyaAllah dalam masa terdekat kita akan maklumkan kepada masyarakat berkenaan kaedah-kaedah baru yang akan diputuskan.

“Harap tidak ada pihak yang ambil kesempatan kemukakan dokumen atau sijil palsu kerana polis mempunyai kaedah bagaimana nak selidik,” katanya selepas melancarkan program Bulan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 serta agihan bakul makanan kepada 10 penduduk terjejas Covid-19 di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Azahar Ismail dan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumuman individu yang lengkap dua dos vaksin boleh rentas daerah dan negeri serta solat berjemaah di masjid.

Shafien berharap dalam apa jua keadaan sekalipun masyarakat hendaklah mematuhi segala SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Jangan menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan kerana melihat senario hari ini kes Covid masih berada di tahap membimbangkan dan berisiko.

“Jadi saya berharap sangat-sangat agar semua masyarakat terus mematuhi SOP,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -