Isu wang pancing Ahli Parlimen: Realiti atau propaganda politik?

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KALAU agama tidak ada kaitan dengan politik, maka senanglah berpolitik kerana tidak terikat dengan halal dan haram, sunat dan makruh, tetapi hakikatnya politik tidak terpisah dengan agama.” – Tuan Guru Haji Salleh Musa

Sebaris kata-kata hikmah yang pernah diucapkan ulama terkenal Kedah, Allahyarham Tuan Guru Haji Saleh Musa itu jelas boleh dijadikan sebagai panduan dalam menghadapi isu atau kontroversi politik yang sedang hangat melanda negara ketika ini iaitu wang pancing atau politik wang.

Ia jelas sekali memberi penekanan terhadap hubung kait antara politik yang tidak boleh dipisahkan dengan hukum agama.

- Advertisement -

Justeru, ahli politik Islam khususnya perlu berpolitik atas dasar menegakkan nilai-nilai syariat Islam agar tidak muncul isu yang melibatkan hukum halal dan haram seperti politik wang tersebut.

Agar isu tersebut boleh diberi pertimbangan melalui logik akal dan saluran undang-undang sedia ada bagi memastikan adakah ia suatu realiti atau sekadar sandiwara dan propaganda politik yang sengaja direka atau dimanipulasi pihak tertentu.

Semua sedia maklum, negara ketika ini sedang bergolak dengan perang dalam menghadapi serangan Covid-19 yang seakan tidak pernah berkesudahan.

Namun malangnya, dalam pada kerajaan Perikatan Nasional (PN) gigih berusaha menangani pandemik tersebut demi kepentingan rakyat jelata, pembangkang yang diharapkan turut sama berganding bahu bagi mencapai matlamat tersebut sebaliknya muncul dengan siri kontroversi yang kemudiannya tercetus menjadi sentimen politik nasional.

Terbaharu, kontroversi tercetus apabila pada 7 Ogos 2021, tiga Ahli Parlimen pembangkang daripada DAP membuat kenyataan media mendakwa mereka telah ditawarkan wang lumayan yang memancing agar mereka berpaling tadah atau melompat parti.

Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran; Ahli Parlimen Melaka, Khoo Poay Tiong; dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii.

Kulasegaran yang juga Naib Pengerusi Kabangsaan DAP malah telah membuat laporan polis mendakwa telah ditawarkan melalui dua mesej WhatsApp yang dihantar menerusi telefon bimbit Setiausaha Sulitnya, Jeremy Chuah pada Jumaat, 6 Ogos 2021, habuan wang tunai sebanyak RM30 juta serta bakal dilantik sebagai menteri oleh individu tidak dikenali, jika memberi sokongan kepada PN.

Khoo pula mendakwa telah menerima mesej telefon daripada nombor yang tidak dikenali menawarkan jawatan menteri dan ‘Durian RM30’ yang tidak jelas maksudnya tetapi dipercayai wang tunai yang akan dibayar segera kepadanya.

Dato’ Mior Faridalathrash Wahid

Sehubungan itu pihak polis pada hari ini, 9 Ogos 2021 menerusi kenyataan Ketua Polis Perak, Dato’ Mior Faridalathrash Wahid telah mengesahkan ada menerima satu laporan polis mengenai isu tersebut yang telah dibuat oleh Chuah.

Dua lagi laporan polis berkait perkara sama turut disahkan telah yang dibuat di Kedah dan Pulau Pinang.

Sementara itu, bertindak merujuk laporan polis Perak, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak melalui kenyataan Pengarahnya, Dato’ Mohd. Fauzi Mohamad, juga pada hari ini telah mengesahkan pihaknya akan memanggil Kunasegaran dan beberapa pihak lain termasuk Chuah dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengenai dakwaan Kunasegaran itu.

Sebenarnya, jika merujuk kepada sejarah politik Malaysia, kewujudan permainan politik wang sebagai tarikan untuk lompat parti di negara ini sememangnya tidak dapat disangkal.

Ia biasanya dikaitkan dengan habuan dalam bentuk wang tunai, hadiah dan kontrak untuk ‘membeli’ kesetiaan pengundi atau penyokong politik.

Sebagaimana kenyataan media penganalisis politik, Azmi Hassan sebelum ini yang menegaskan isu politik wang di Malaysia telah menunjukkan kurangnya kematangan politik dalam kalangan ahli-ahli politik yang terbabit.

Perunding strategi politik Universiti Islam Antarabangsa, Syed Arabi Idid Syed Arabi pula ada menyatakan terdapat sebilangan ahli politik yang ‘tidak melihat isu politik wang sebagai politik wang, sebaliknya sebagai sebahagian daripada perbelanjaan mereka untuk mendapatkan pengundi’ atau dalam erti kata lain, ia adalah wang politik.

Justeru, apakah wang politik dan politik wang adalah perkara yang sama atau berbeza? Yang mana satukah atau adakah kedua-duanya dilabelkan sebagai rasuah politik?

Merujuk kepada kajian yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, wang politik dan politik wang adalah dua perkara yang berbeza.

Wang politik dilabelkan sebagai wang sah manakala politik wang pula adalah rasuah politik yang dikategorikan sebagai wang haram. 

Wang politik merujuk kepada dana yang diperlukan sesebuah parti politik untuk tujuan pilihan raya termasuk aktiviti-aktiviti parti tersebut seperti pendidikan, analisis polisi, latihan dan lain-lain.

Ini kerana semasa pilihan raya, parti memerlukan jumlah dana yang banyak untuk membiayai pelbagai kempen termasuk perbelanjaan calon, pusat operasi kempen, poster dan media massa dan lain-lain yang pada kebiasaannya kesemua kos-kos tersebut dibiayai hasil yuran keahlian, derma politik, majlis-majlis makan malam untuk kumpul dana, penjualan buku dan juga dana daripada calon pilihan raya sendiri.

Seiring dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi sekarang ini, kos kempen pilihan raya parti politik juga makin bertambah. Persaingan untuk mendapatkan jawatan dan memenangi pilihan raya menjadikan kosnya melambung tinggi dan dalam proses inilah, muncul politik wang.

Dato’ Seri Azam Baki

SPRM melalui kenyataan Ketua Pesuruhjaya Dato’ Seri Azam Baki sebelum ini menegaskan, hanya akan bertindak menyiasat ahli politik yang melompat parti  jika terdapat bukti wujud unsur penawaran wang.

Ini kerana lompat parti bukan suatu kesalahan kerana tiada sebarang undang-undang yang melarangnya tetapi jika wujud sebarang bukti penawaran wang berlaku seperti semasa meraih sokongan, maka ia akan disiasat SPRM.

Dari segi perundangan, selain SPRM, di Malaysia sememangnya wujud undang-undang yang membolehkan ‘pemain’ politik wang dihukum. Tiga akta yang diperuntukkan ialah Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Namu biarpun sudah wujud SPRM dan undang-undang tersebut, seperti diketahui umum juga, isu politik wang masih tetap berleluasa di Malaysia.

Cuma dalam kes dakwaan tiga Ahli Parlimen DAP berkenaan, apa yang pasti tidak dapat dijangka kebenaran akan dakwaan mereka itu. Ini kerana dalam suasana politik negara yang sedang bergelora ini, khususnya dengan sidang Parlimen yang dijangka diadakan menjelang September ini, pelbagai perkara yang ‘aneh-aneh’ boleh muncul.

Propaganda dan sandiwara, semua itu sememangnya permainan popular dunia politik.

Justeru, biarlah pihak berkuasa yang menjalankan siasatan adakah benar wujud isu politik wang seperti didakwa tiga anggota DAP tersebut. Dan jika benar dakwaan mereka itu, siapakah dalangnya? Begitu juga andai dakwaan itu tidak benar, siapakah pula dalangnya?

Justeru, realiti atau sekadar propaganda, apa yang jelas, isu politik wang ini berjaya menambahkan gejolak dalam senario negara yang ketika ini sedang bergolak dengan pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -