KOTA BHARU: Sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap lebih banyak berbanding tiga lagi individu yang ghairah mendapatkan jawatan nombor satu negara itu.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, beliau secara peribadi berpandangan berlaku perpecahan dalam kalangan parti pembangkang sekarang.
Katanya sehingga sekarang mereka gagal mengemukakan satu nama yang mampu mengetuai parti-parti lain.
“Sekarang calon terbabit tidak cukup sokongan semuanya, saya berani sebut tiada yang cukup sokongan.
“Jadi akhirnya kelam kabut juga. Kemungkinan kerajaan baru yang diharap mereka diangggap lebih teruk daripada kerajaan yang ada sekarang.
“Sebab itu secara peribadi antara perdana menteri sekarang dengan tiga calon lain, sokongan terhadap Muhyiddin lebih tinggi berbanding daripada mereka. Walaupun ramai pembangkang, dia tidak bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan tablet kepada pelanggan ar-Rahn di Ibu Pejabat Permodalan Kelantan Berhad (PKB) di Kelantan Trade Center (KTC) di sini hari ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, pihak yang mahu menjatuhkan perdana menteri sekarang, gagal mengemukakan calon yang mendapat sokongan semua parti pembangkang.
“Pembangkang tidak bersatu antara satu sama lain. Tak kan Tun Dr Mahathir hendak menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim jadi perdana menteri, kalau hendak bagi kepada Anwar pun, sudah lama dia bagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!