Tegaklah memimpin bersama hidayah

- Advertisement -

“…KERAJAAN hari ini tidak sempurna. Apa yang benar, kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak bagi menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat”.

Ini adalah sedikit daripada ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Sidang Khas Dewan Rakyat tempoh hari. Saya juga bersetuju bahawa kerajaan hari ini sudah pasti ada kelemahannya. 

- Advertisement -

Namun begitu, adalah lebih baik sekiranya kita tidak hanya melihat kelemahan yang ada dari satu sudut pandangan sahaja, sehingga menafikan semua kerja keras yang dilakukan untuk menyelesaikan krisis kesihatan yang tidak pernah lagi seteruk ini kita alami:

“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang pemimpin itu, nescaya diadakan bersamanya Menteri yang benar (baik), kalau pemimpin itu lupa diperingatkannya, kalau pemimpin itu sudah ingat (tidak lupa) nescaya ditolongnya.

“(Sebaliknya) kalau Allah menghendaki bagi seseorang pemimpin itu keburukan, nescaya diadakan bersamanya menteri yang tidak baik, kalau pemimpin itu lupa nescaya tidak diperingatkannya, dan kalau pemimpin itu sudah baik nescaya tidak ditolongnya.”

(Riwayat Abu Dawud 2932)

Atas kesempatan yang telah Allah izinkan, marilah kita semua tegak mendukung kepimpinan Perdana Menteri dalam perkara-perkara kebajikan dan takwa, khususnya dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara dan mempercepatkan lagi program vaksinasi. 

Titik persamaan yang ada untuk membantu rakyat mestilah sama-sama diperteguh, bukan pula dilemahkan semata-mata untuk mendapatkan sokongan politik sehingga menjejaskan kestabilan negara. 

Pihak pembangkang tidak wajar mengambil peluang atas semua kesulitan yang dilalui rakyat ketika ini untuk menjatuhkan Perdana Menteri semata-mata ingin kembali mendapatkan kuasa yang dilepaskan oleh mereka sendiri. Jadilah pemimpin yang bermaruah, dan mempunyai sifat malu kepada rakyat. Jangan terlalu ditonjolkan nafsu untuk menjadi pemimpin. 

“Sesungguhnya demi Allah! Kami tidak melantik seorang yang meminta-minta jawatan atau terlalu rakus kepada jawatan.”

(Riwayat al-Bukhari 7149 dan Muslim 1733)

Tidak ada masalah untuk mana-mana pihak berbeza pendapat dalam soal pendekatan menangani krisis, tetapi janganlah perbezaan itu sehingga menjadikan kita berpecah dan meretakkan kesatuan ummah dan kekuatan politik Melayu Islam.

Insya-Allah, saya yakin bahawa, kepimpinan ini akan terus teguh jika kita tidak meninggalkan panduan dan hidayah Allah S.W.T.

YB DATUK USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 7/8/2021

- Advertisement -