
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA NERUS: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan kerjasama Malaysian Rubber Council (MRC) menyediakan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi menangani masalah bekalan air di Kuala Nerus.
Katanya masalah itu berpunca paip pecah di dasar Sungai Terengganu yang menjejaskan 28,700 pengguna akaun Syarikat Air Terengganu (SATU) sejak empat hari lalu.
“Apa yang sedang kita usahakan sekarang menghantar air kepada setiap kampung yang terlibat sekurang-kurangnya satu tangki air berkapasiti 600 gelen. Bekalan air ini datang daripada SATU dan air yang kita beli.
“Hari ini kita dapat bekalan daripada MRC sebanyak satu tangki air yang berkapasiti 40,000 liter. Kita akan sediakan dua tangki seperti ini untuk membekalkan air daripada SATU ke seluruh Kuala Nerus.
“Kita hantar air ke semua ‘one stop centre’ di setiap kampung. Di samping itu ramai pula yang memberi bantuan menerusi ‘pickup’ dan lori-lori kecil yang membawa air-air dalam tangki dan dihantar ke kampung-kampung untuk pengguna.
“Setakat ini, tangki air yang kita sedia sebanyak 177 tangki air berkapasiti 600 gelen melibatkan empat DUN untuk Parlimen Kuala Nerus sahaja, tidak termasuk (DUN) Batu Rakit, Setiu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika Program Misi Bantuan Air Bersama Ahli Parlimen, Malaysian Rubber Council (MRC) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) negeri Terengganu, di Dewan Serbaguna DUN Tepoh, Kuala Nerus, semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin.
Dr Khairuddin yang juga Menteri Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan sumbangan mana-mana pihak bagi menyediakan bekalan air minuman kepada rakyat yang terkesan dengan masalah tersebut.
“Kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang hendak menghantar bekalan air minuman. Saya sendiri menyediakan peruntukan untuk isu air di Kuala Nerus sebanyak RM400,000.
“Ini untuk pastikan masalah air dapat ditangani dan ini termasuk RM50,000 saya sumbangkan untuk DUN Batu Rakit (Setiu) dengan kerjasama MRC untuk rakyat Kuala Nerus kerana krisis air yang sedang berlaku sekarang,” jelasnya.
Selain itu, katanya pihak Khidmat Malaysia turut menyediakan sebanyak 4000 tong air dengan kapasiti 18 liter setiap tong untuk dihantar ke DUN Bukit Tunggal, Seberang Takir, Tepoh dan Buluh Gading.
“Saya akan sedia 15,000 tong air berkapasiti 18 liter itu untuk diagihkan kepada semua rumah untuk air minuman sahaja. Jadi ada dua cara, satu air minuman dan satu lagi untuk bekalan kegunaan bagi keperluan keluarga seperti mandi dan lain-lain,” ujarnya.
Menurutnya juga semua wakil rakyat bekerja keras sejak krisis air berlaku empat hari lalu bagi memastikan rakyat mendapat bekalan air dan jika ada yang terlepas pandang sila hubungi JPKK masing-masing. – HARAKAHDAILY 7/8/2021











