Usah persoal keabsahan PM, Kerajaan PN

- Advertisement -

KEABSAHAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjadi antara perkara hangat diperkatakan selepas tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan keputusan parti itu menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan PN.

Ketika sidang media mengumumkan keputusan itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, turut berada bersama Ahmad Zahid adalah 10 ahli Parlimen parti itu.

Mereka ialah Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang), Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).

- Advertisement -

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, pula sebelum itu,  mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengemukakan surat akuan Ahli Parlimen Umno dengan jumlah angka yang mencukupi untuk menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyhiddin sebagai Perdana Menteri dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan kerajaan PN mempunyai 115 kerusi Parlimen dan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan memerlukan 112 kerusi, sudah tentu jumlah angka yang Ahmad Zahid kemukakan membuktikan kepimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti.

Bagaimanapun, adakah Muhyiddin sudah hilang kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan PN turut tumbang? Sebelum melangkah jauh, mari kita lihat situasi ini dari segi undang-undang.

Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, Perlembagaan menyediakan peraturan berkaitan pelantikan dan penamatan jawatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, Perlembagaan menyatakan bahawa pelantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong melalui Perkara 43(2), manakala penamatan jawatan Perdana Menteri pula berdasarkan beberapa keadaan.

Katanya, keadaan itu ialah apabila berlaku pilihan raya umum selepas pembubaran Parlimen mengikut Perkara 55 atau 43(4), atau apabila Perdana Menteri meletakkan jawatan, sama ada kerana hilang sokongan majoriti di bawah Perkara 43(4) atau kerana sebab-sebab lain.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa tidak ada satu pun keadaan yang berlaku menunjukkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, telah menamatkan jawatannya mengikut Perlembagaan.

“Fakta bahawa beliau kehilangan sokongan majoriti belum menyebabkan secara automatik jawatannya terlucut,” katanya.

Dr Muhammad Fathi berkata, Perlembagaan juga menyatakan Perdana Menteri yang kehilangan kepercayaan mempunyai dua pilihan, iaitu sama ada meletakkan jawatan atau memohon pembubaran Dewan Rakyat.

Apabila kedua-dua perkara ini tidak dilakukan, katanya ia juga tidak bermakna bahawa kerajaan sekarang sudah hilang keabsahan berdasarkan beberapa faktor seperti pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 adalah melalui nasihat Perdana Menteri.

Selain itu, katanya Kabinet menunjukkan secara tersirat bahawa Yang di-Pertuan Agong masih mahu Perdana Menteri meneruskan tugasnya dan juga berdasarkan faktor bahawa ketika ini, tiada mana-mana ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat kepercayaan majoriti, sekurang-kurangnya 111 ahli untuk membentuk kerajaan.

Apakah yang harus dilakukan sekarang? Semua pihak perlu akur terhadap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan cadangan Muhyiddin supaya keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri ditentukan dalam sidang Parlimen akan datang yang dijadualkan pada September ini.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini. Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.

Muhyiddin berkata, Kabinet dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

Ahmad Zahid dan juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dari blok Pakatan Harapan (PH) yang juga turut mendakwa majoriti Ahli Parlimen sudah hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin, harus bersabar dan mengikut proses undang-undang.

Tindakan pembangkang mengumpul dan menghantar akuan bersumpah atau surat sokongan untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri juga bertentangan dengan perkenan dan keputusan dibuat Yang di-Pertuan Agong supaya isu ini diselesaikan di Parlimen.

Sebarang tindakan lain yang hanya akan menghangatkan senario politik negara tidak boleh diterima oleh majoriti rakyat yang mahu melihat tumpuan diberikan terhadap usaha menangani penularan wabak Covid-19 serta usaha meningkatkan taraf hidup.

Bilangan kes positif dijangkiti Covid-19 sudah melebihi 20,000 kes sehari dan bilangan yang meninggal dunia juga melebihi 200 orang sehari. Sewajarnya Ahli Parlimen pembangkang bersikap budiman dengan menunggu sehingga September ini. – HARAKAHDAILY 6/8/2021

- Advertisement -