82 peratus kakitangan TNB lengkap dos vaksin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan bahawa 82 peratus daripada sejumlah 35,000 kakitangannya di Semenanjung Malaysia dan Sabah telah melengkapi dos suntikan vaksin dalam usaha bersepadu syarikat gergasi utiliti negara itu membantu negara mengekang penularan pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan hari ini, TNB memaklumkan bahawa pemberian vaksin secara komprehensif untuk kakitangannya merupakan antara keutamaan syarikat memandangkan kebanyakan daripada mereka adalah petugas barisan hadapan dalam rantaian bekalan tenaga yang berusaha untuk memastikan kestabilan bekalan elektrik untuk rakyat, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Operasi TNB diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu ketika negara memerangi wabak COVID-19 bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil ke lokasi strategik termasuk hospital, klinik kesihatan, pusat vaksinasi dan penyimpanan vaksin.

Dalam kenyataan itu juga, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din berkata menyedari aspirasi negara dalam memerangi wabak COVID-19, TNB telah melaksanakan kempen secara dalaman bagi menggalakkan kakitangannya mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pada masa yang sama, katanya, TNB bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Persekutuan dan Negeri untuk memastikan petugas barisan hadapannya syarikat utiliti berkenaan menerima suntikan vaksin secepat mungkin.

“Kita telah mencapai imuniti kelompok dalam kalangan kakitangan syarikat berikutan kejayaan kempen secara dalaman. Alhamdulillah, petugas secara sukarela mendaftar untuk divaksinasi setelah menyedari dan memahami mengenai pentingnya membendung penularan virus COVID-19 kepada diri mereka sendiri, rakan, keluarga dan pelanggan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Baharin berkata, bagi menyokong Pelan Pemulihan Negara, TNB membuat keputusan untuk membenarkan hanya petugas yang menerima vaksin untuk bekerja di lokasi, dan semua petugas digalakkan untuk bekerja dari rumah sekerap mungkin.

“TNB serius berusaha memastikan kakitangannya melengkapi dos vaksin masing-masing dan akan membantu negara dalam mempergiatkan kembali perniagaan dan memacu ekonomi,” tambahnya. – BERNAMA

- Advertisement -