UK sumbang 415,000 dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia

PUTRAJAYA: United Kingdom (UK) akan menyumbangkan 415,000 dos vaksin Covid-19 AstraZeneca ke Malaysia, umum Setiausaha Luar Negeri, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan UK, Dominic Raab hari ini di London.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi pihak kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada rakan sejawatannya di UK atas sumbangan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Advertisement

“Ini adalah lambang hubungan yang erat dan akan mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dua hala dan di pelbagai peringkat,” kata Hishammuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar.

Malaysia amat menghargai sokongan yang diberikan UK serta percaya bahawa kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk mendepani cabaran pandemik dan menuju ke arah pemulihan.

Ini merangkumi kerjasama dalam pengaturan vaksinasi dan gelembung perjalanan timbal balik.

Sumbangan itu juga akan membantu meningkatkan kadar vaksinasi harian PICK yang sedang dilaksanakan, tambahnya.

Sementara itu, menurut kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur, UK akan mulai menghantar sembilan juta vaksin Covid-19 di seluruh dunia, termasuk ke Malaysia, dengan lima juta dos ditawarkan kepada COVAX.

Vaksin University of Oxford-AstraZeneca yang disumbangkan ke Malaysia dihasilkan Oxford Biomedica di Oxford dan dibotolkan di Wrexham, North Wales.

Dalam kenyataan sama, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Charles Hay berkata: “Saya gembira Malaysia adalah yang pertama menerima vaksin dari UK. Sumbangan vaksin ini mencerminkan komitmen UK untuk membantu rakan kita di Malaysia. Kami percaya bahawa ini akan membantu merancakkan lagi program vaksinasi di samping melindungi lebih banyak nyawa di sini.” – BERNAMA