FELDA perlu adil, tepati janji kepada peneroka

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) disaran memberikan insentif kepada peneroka yang mengusahakan ladang sendiri tanpa sebarang hutang serta bagi mereka yang disiplin dalam membayar hutang, sebelum ini.

Antara insentifnya ialah pemberian anak benih secara percuma bagi tanaman semula atau sebarang insentif yang setimpal dengan purata jumlah hutang yang dihapuskan.

Menurut Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI), Ustaz Roslan Md Esa berkata, inisiatif ini antara sepuluh cadangan yang dikemukan pihaknya bagi menyelesaikan isu Perjanjian Penghapusan Pinjaman dan Pengurusan Kebun antara FELDA dan peneroka.

Menurut Ustaz Roslan, GENERASI menyarankan FELDA mengambil jalan tengah iaitu situasi menang-menang (win-win situation) antara lembaga tanah berkenaan dengan peneroka.

Katanya, FELDA perlu memastikan pembayaran ke atas setiap peneroka yang menjual hasil kepada kilang FELDA dibayar secara mingguan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.

Cadang beliau lagi, FELDA digesa menetapkan tempoh penyerahan pengurusan ladang sehingga tempoh penanaman semula yang berikutnya atau melihat kepada tempoh usia pokok tersebut.

Kemudian sarannya, hasil yang diperolehi daripada pokok tersebut perlu dinilai sebagai hasil individu dan bukannya secara rawak mengikut blok.

Selain itu katanya, pinjaman wang sara hidup yang diberikan hendaklah dikenakan caj perkhidmatan yang patuh syariah dengan kadar minima tidak melebihi tiga peratus.

Berhubung isu terma serta klausa perjanjian tersebut yang dilihat kabur serta hanya menguntungkan FELDA semata-mata, Ustaz Roslan mencadangkan agar tindakan undang-undang diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar klausa perjanjian.

“FELDA mestilah mengiktiraf layanan yang sama rata ke atas peneroka yang mengurus ladang mereka sendiri dan peneroka yang menyerahkan ladang mereka kepada FELDA,” ujarnya dalam satu cadangan Memorandum Isu Perjanjian Penghapusan Pinjaman dan Pengurusan Kebun antara FELDA dan peneroka.

Di samping itu, Ustaz Roslan juga menyarankan agar FELDA mengisytiharkan pilihan serta melanjutkan tempoh yang munasabah kepada peneroka agar mereka diberikan pilihan untuk bersetuju atau menolak perjanjian berkenaan.

Jelasnya, ini berikutan tempoh masa untuk menandatangan perjanjian yang singkat sebelum ini telah menjadi polemik kepada para peneroka akibat kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan mereka tidak dapat berbincang dengan baik bersama ahli keluarga serta waris mereka.

Antara isu lain yang dibangkitkan juga adalah kaedah pengiraan hutang yang tidak jelas sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan para peneroka, tambah Ustaz Roslan.

Justeru, FELDA digesa memberikan penerangan secara terperinci mengenai kaedah pengiraan pelupusan 80 peratus hutang-hutang peneroka dengan mempelbagaikan kaedahnya.

Sehubungan itu beliau menegaskan supaya polemik ini perlu ditangani segera kerana ia melibatkan nama baik pelbagai pihak termasuk prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, kerajaan secara dasar telah bersetuju dengan cadangan FELDA untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion sempena Hari Peneroka Kebangsaan, pada 7 Julai baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelupusan itu akan dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat, terutama bagi generasi awal yang berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah itu dijayakan.

Katanya, pengumuman ini sememangnya telah memberikan harapan baharu kepada para peneroka untuk kembali bernafas dan mengusahakan ladang mereka secara tersusun dan mencapai piawaian yang ditetapkan oleh FELDA di samping jadual pembayaran hutang yang lebih jelas dan praktikal selepas daripada ini.

“Tindakan ini membuktikan kerajaan Perikatan Nasional mempunyai ‘political will’ untuk mendengar rintihan dan membantu para peneroka yang sudah lama selama ini diabaikan,” katanya.

Dalam memorandum yang sama, pihaknya turut merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan di atas langkah memperkasa FELDA melalui strategi serampang tiga mata (restart, revitalise, reform) khususnya mengenai penghapusan hutang peneroka FELDA dengan purata sebanyak 80 peratus.

Menerusi inisiatif tersebut, rata-rata peneroka dianggarkan dapat mengurangkan jumlah bayaran bulanan daripada antara RM800 hingga RM1,000 kepada RM150.00 bagi peneroka getah dan antara RM250 hingga RM300 bagi peneroka sawit. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -