Keupayaan peluru berpandu Iran

Gambar yang dikeluarkan oleh tentera Iran pada 23 Januari 2024 menunjukkan Jeneral Abdolrahim Mousavi (kiri) dan Menteri Pertahanan, Jeneral Mohammad Reza Gharaei Ashtiani, ketika majlis penyerahan dron yang dibina dalam negara kepada tentera Iran.
- Advertisement -

DUBAI: Iran memajukan rangkaian peluru berpandu balistik dan dron dalam program yang telah lama menggentarkan Barat. Peluru berpandu adalah elemen penting dalam sistem persenjataan Tehran yang telah membalas serangan Israel terhadap kedutaan negara itu di Syria.

Mengikut Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Iran mempunyai bilangan peluru berpandu balistik terbesar di rantau Asia Barat.

- Advertisement -

Berikut adalah butiran mengenai sistem peluru berpandu Iran:

  • Agensi berita Iran, ISNA menerbitkan grafik minggu ini yang menunjukkan sembilan peluru berpandu Iran yang dikatakan boleh sampai ke Israel. Ini termasuk Sejil yang mampu terbang pada kelajuan lebih 17,000 kilometer (km) sejam dan dengan jarak 2,500 km. Kheibar dengan jarak 2,000 km dan Haj Qasem mempunyai jarak 1,400 km yang dinamakan sempena Komander Pasukan Quds, Qasem Soleimani, yang terbunuh dalam serangan dron AS di Baghdad empat tahun lalu.
  • Iran sebagai pengeluar utama dron pada Ogos lalu menyatakan membina dron buatan sendiri yang canggih bernama Mohajer-10 dengan jarak operasi 2,000 km dan mampu terbang sehingga 24 jam dengan muatan sehingga 300 kilogram (kg).
  • Negara itu juga menyatakan bahawa peluru berpandu balistik adalah kuasa penghalang dan serangan balas penting terhadap AS, Israel dan sasaran serantau lain yang berpotensi. Namun, menafikan berusaha mendapatkan senjata nuklear.
  • Jun lalu, Iran membentangkan laporan yang pegawai negara itu sifatkan sebagai peluru berpandu balistik hipersonik buatan negara itu yang pertama. Peluru berpandu hipersonik itu mampu terbang sekurang-kurangnya lima kali lebih cepat daripada kelajuan bunyi dan pada trajektori yang kompleks menjadikannya sukar dipintas.
  • Walaupun ditentang oleh AS dan Eropah, Republik Islam akan memajukan lagi program peluru berpandu pertahanan.
  • Persatuan Kawalan Senjata, sebuah pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di Washington, berkata program peluru berpandu Iran sebahagian besar berdasarkan reka bentuk Korea Utara dan Rusia, selain mendapat manfaat bantuan China.
  • Persatuan Kawalan Senjata berkata, peluru berpandu balistik jarak dekat dan sederhana Iran termasuk Shahab-1, dengan anggaran jarak 300 km, Zolfaghar (700 km) dan Shahab-3 (800-1,000 km). Dua peluru berpandu yang sedang dimajukan ialah Emad-1 (2,000 km) dan Sejil (1,500-2,500 km).
  • Iran juga mempunyai peluru berpandu jelajah seperti KH-55, senjata berkeupayaan nuklear yang dilancarkan dari udara dengan jarak sehingga 3,000 km dan peluru berpandu anti-kapal canggih, Khalid Farzh dengan jarak kira-kira 300 km mampu membawa kepala peledak 1,000 kg.

SERANGAN SERANTAU

  • Pengawal Revolusi Iran menggunakan peluru berpandu pada Januari lalu apabila menyerang ibu pejabat pengintip Israel di Kurdistan, wilayah separa autonomi Iraq dan menembak ke arah militan Negara Islam di Syria. Iran juga mengumumkan menembak peluru berpandu ke dua pangkalan kumpulan militan Baluchi di negara jiran, Pakistan.
  • Arab Saudi dan AS percaya Iran berada di sebalik serangan dron dan peluru berpandu membabitkan kemudahan minyak Arab Saudi pada 2019. Namun, Tehran menafikan dakwaan itu.
  • Pada 2020, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pakatan tentera pimpinan AS di Iraq, termasuk pangkalan udara al-Asad, sebagai tindakan balas terhadap serangan dron AS ke atas komander Iran, Soleimani yang kematiannya menimbulkan kebimbangan konflik Asia Barat yang lebih meluas.

HOUTHIS YAMAN

  • Amerika Syarikat mendakwa Iran mempersenjatai Houthi Yaman yang menyerang kapal di Laut Merah dan Israel ketika konflik Gaza, dalam kempen yang bertujuan menyokong perjuangan rakyat Palestin. Tehran menafikan mempersenjatai Houthi.
  • Pada 2022, Houthi menembak beberapa peluru berpandu balistik dan dron ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). Ini termasuk serangan peluru berpandu yang menyasarkan pangkalan yang menempatkan tentera AS di UAE, tetapi digagalkan oleh sistem pemintas peluru berpandu AS, Patriot

SOKONGAN UNTUK HIZBOLLAH

  • Pemimpin kumpulan Hizbullah Lubnan yang Iran sokong menyatakan kumpulan itu mempunyai keupayaan untuk menukar beribu-ribu roket kepada peluru berpandu dan menghasilkan dron.
  • Tahun lalu, pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah berkata, kumpulan itu mampu mengubah roket standard menjadi peluru berpandu hasil kerjasama “pakar dari Republik Islam Iran”.

SYRIA

  • Mengikut perisikan AS dan Israel, Iran memindahkan peluru berpandu berpandu ke Syria untuk menyokong perjuangan Presiden Bashar al-Assad menentang pemberontak. Iran juga dikatakan memindahkan beberapa kapasiti pengeluaran ke ruang bawah tanah di Syria. – REUTERS
- Advertisement -