Amaran keras Iran buat negara sokong Israel

Mohammad Reza Ahstiani. (FOTO: Tehran Times)’
- Advertisement -

TEHRAN: Iran telah mengeluarkan amaran keras terhadap mana-mana negara khususnya di Asia Barat, yang bersubahat dengan Israel.

Dalam satu pengisytiharan terkini, Menteri Pertahanan Iran, Brigedier Jeneral Mohammad Reza Ashtiani berkata, negara-negara yang menyokong Israel untuk menyerang Iran akan menerima tindak balas tegas daripada Republik Islam itu, lapor Tehran Times.

- Advertisement -

“(Jika anda) membuka ruang udara anda, kami akan berurusan (tindak balas) dengan tegas,” katanya memberi amaran melalui Twitter dalam bahasa Ibrani.

Tambah beliau, mana-mana negara yang memudahkan sebarang pencerobohan Israel terhadap Iran dengan membenarkan akses ke ruang udara atau wilayah mereka akan menghadapi tindak balas tegas Tehran.

Jordan mungkin sasaran seterusnya

Di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak, sumber tentera Iran mencadangkan Jordan mungkin menghadapi kesan teruk dan menjadi sasaran seterusnya jika ia bersubahat dengan rejim Zionis.

Penegasan itu dibuat berikutan pengawasan yang lebih tinggi oleh angkatan bersenjata Iran, memantau dengan teliti aktiviti Jordan selepas serangan balas oleh Iran terhadap wilayah yang diduduki pada malam Sabtu (13 April) ke atas wilayah yang diduduki negara haram Israel.

Tindakan balas Iran berlaku selepas rejim Israel menyerang kedutaan Iran di Damsyik pada 1 April, mengakibatkan kematian tujuh pegawai tinggi tenteranya.

Sumber itu menekankan bahawa sekiranya Jordan memilih untuk terlibat dalam sebarang tindakan masa depan, ia berisiko menjadi sasaran seterusnya operasi ketenteraan Iran.

Amaran awal itu telah dikeluarkan kepada Jordan dan negara-negara jiran Iran di Asia Barat sebagai langkah berjaga-jaga terhadap latar belakang potensi konfrontasi masa depan di rantau tersebut.

Mesir tubuhkan kumpulan krisis

Sementara itu, Mesir telah membentuk kumpulan krisis apabila Iran mengesahkan telah melancarkan serangan ke atas Israel.

Ia ditubuhakn bagi memantau perkembangan berikutan tindakan balas Iran terhadap serangan Israel itu.

Seperti yang dilaporkan oleh Al Qahera News, kumpulan krisis itu bekerja sepanjang masa, memberikan kemaskini tetap kepada presiden Mesir mengenai situasi yang berkembang di rantau itu.

“Kumpulan krisis… sedang memantau keadaan dengan teliti dan menyerahkan laporan kepada Presiden Abdel Fattah al-Sisi jam demi jam,” kata saluran itu, memetik kenyataan seorang pegawai kanan keselamatan.

Selain itu, tambah laporan itu, angkatan pertahanan udara Mesir juga berada dalam keadaan berjaga-jaga secara maksimum selepas Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel tersebut. – Agensi – HARAKAHDAILY 14/4/2024

- Advertisement -