Iran serang Israel

Dron Shahed-136 Iran dilancarkan ketika latihan ketenteraan di Iran pada Disember 2021. (Tangkapan skrin: Twitter)
- Advertisement -

TEHRAN: Iran telah melancarkan serangan balas terhadap wilayah yang diduduki negara haram Israel menerusi Operasi ‘True Promise’ pada awal pagi hari ini, Ahad (14 April), selepas rejim Zionis itu didakwa menyerang kedutaan negara itu di Damsyik pada 1 April lalu, membunuh tujuh pegawai tinggi tenteranya.

Laporan media Israel pada hari ini, Ahad (14 April) mengatakan Iran telah melepaskan tiga gelombang dron ke kedudukan Israel, serta beberapa peluru berpandu jelajah.

- Advertisement -

Rakaman yang dirakam oleh rakyat di Iraq, menunjukkan dron terkenal Iran, Shahed-136 adalah antara pesawat udara tanpa pemandu (UAV) yang dilancarkan di wilayah yang diduduki, lapor Tehran Times.

Pengumuman awal berhubung pelancaran serangan Iran datang daripada tentera Israel. Jurucakap tentera, Daniel Hagari berkata, dron Iran akan mengambil masa beberapa jam untuk sampai ke destinasi mereka sambil menekankan kesediaan Israel untuk situasi itu.

Ketika taklimat media, Hagari menekankan bahawa Israel mempunyai langkah-langkah pertahanan dan serangan serta mengekalkan kerjasama rapat dengan Amerika Syarikat dan rakan serantaunya.

Sehubungan itu, Iran juga mengesahkan ia telah memulakan tindakan balas terhadap Israel melalui pengumuman di televisyen Iran, IRNA.

“Sebagai tindak balas terhadap pelbagai jenayah rejim Zionis, termasuk serangan ke atas bahagian konsulat Iran di Damsyik dan beberapa komander dan penasihat tentera negara kita di Syria yang mati syahid, Tentera Udara Kor Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRCG) menyasarkan objektif khusus di dalam wilayah yang diduduki negara haram Israe dengan dengan serangan berpuluh-puluh peluru berpandu dan dron,” kata seorang pembaca berita, membaca kenyataan oleh IRGC.

Sementara, laporan ABC News memetik kenyataan pegawai AS yang mendakwa bahawa 400 hingga 500 dron kini sedang menuju ke arah Israel selepas dilancarkan dari wilayah Iran.

Terdahulu, sebelum serangan terus Iran ke atas sasaran Israel, Kumpulan Penentangan Lubnan, Hizbullah memulakan serangan roket yang menyasarkan kawasan utara Palestin yang diduduki dan Bukit Golan.

Serangan siber juga, tambah laporan Tehran Times, telah menjerumuskan kawasan luas di wilayah yang diduduki, termasuk Tel Aviv, ke dalam ‘kegelapan’ sistem komunikasi.

Maklumat lanjut menunjukkan bahawa kedua-dua kumpulan Lubnan dan pergerakan Ansarullah di Yaman telah memulakan serangan dron ke atas wilayah yang diduduki negara haram itu serentak dengan serangan Iran tersebut. – Agensi -HARAKAHDAILY 14/4/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -