Jawatankuasa Khas ketengah isu Palestin ke ICJ

- Advertisement -

MEMANDANGKAN kezaliman dan penderitaan yang berterusan dihadapi oleh rakyat Palestin, Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) terpanggil untuk mengambil inisiatif bersama-sama masyarakat Antarabangsa sama ada di peringkat Malaysia ataupun di luar Malaysia bagi menzahirkan sokongan dan bantuan kepada rakyat Palestin.

Selain daripada bantuan dana yang disalurkan oleh PPMM, pada 11 Jun 2021 PPMM telah menulis sepucuk surat kepada Pejabat Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda yang antara lain meminta kenyataan lanjut berkaitan perkembangan terkini siasatan rasmi yang dilakukan mengenai penindasan dan kezaliman dilakukan rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin.

- Advertisement -

Pada 27 Julai 2021, PPMM telah menerima sepucuk surat balasan yang ditandatangani oleh Encik Mark P Dillon, Ketua Unit Informasi dan Keterangan Pejabat Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang menyatakan:

a. Berterima kasih atas surat yang diutus oleh PPMM bertarikh 11 Jun 2021 tersebut;
b. Keputusan untuk memulakan siasatan diambil setelah mengumpulkan maklumat tambahan dan analisa menyeluruh bagi mempastikan syarat-syarat ‘Rome Statute’ dipenuhi dan mendapat arahan spesifik dari Kamar Pra-perbicaraan berkaitan skop bidangkuasa; dan
c. Maklumat yang diberikan oleh PPMM akan ditambah sebagai sebahagian daripada simpanan mereka dan akan disalurkan kepada pegawai mereka untuk kajian lanjut.

Berdasarkan surat balasan tersebut PPMM, yang telah menubuhkan tiga buah jawatankuasa mengenai isu Palestin iaitu Jawatankuasa Isu Palestin berkaitan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang diketuai oleh En Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Jawatankasa Isu Palestin berkaitan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang diketuai oleh En Aidil Khalid dan Jawatankuasa Kajian Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Hak Asasi Manusia mengenai isu Palestin diketuai oleh En Abdul Rahim Sinwan, akan memanggil ketiga-tiga Jawatankuasa tersebut bagi memberi maklumat lanjut kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan badan lain bagi membawa keadilan kepada rakyat Palestin. Jawatankuasa-jawatankuasa tersebut juga akan membuat kajian lanjut di dalam skop tugasan mereka bagi mengetengahkan isu Palestin ini ke persada Antarabangsa.

PPMM berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi kesan kepada keadilan rakyat Palestin dan mendesak Kerajaan Malaysia agar terus membantu Palestin mencapai kebebasan dari cengkaman Zionis Israel. PPMM juga merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Malaysia dan masyarakat Antarabangsa bagi mencapai solidariti dalam membela rakyat Palestin yang dizalimi tersebut.

DATO’ ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
28 Julai 2021 – HARAKAHDAILY 28/6/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/273403396465376/posts/1208676512938055/

- Advertisement -