PRU15: Ahli PAS disiap hadapi perang maklumat

maklumat
- Advertisement -

KUANTAN: Semua ahli PAS merupakan ejen penerangan yang bertanggungjawab menjadikan PAS sebagai pilihan dan rujukan utama masyarakat, demikian kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.

- Advertisement -

“Dahulu, Rasulullah S.A.W dan Sahabat R.A berperang dengan menunggang kuda dan bersenjatakan pedang, hari ini kita semua berperang bersenjatakan maklumat dan gajet.

“Zaman berbeza, medium juga tak sama, tetapi matlamat dan hala tuju kita sama. Di sinilah pentingnya kita menguasai media massa untuk memenangkan Islam,” ujar.

Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Penerangan dan Media Baharu PAS Negeri Pahang secara atas talian membabitkan penglibatan lebih 300 peserta dari seluruh negeri ini, kelmarin.

Konvensyen ini bermatlamat mempersiap dan menggerak jentera penerangan di setiap peringkat dengan ilmu agar mampu menguasai media sosial dan sebaran maklumat bagi menghadapi PRU15.

Ia juga merupakan wadah bagi jentera penerangan menyelaraskan penyampaikan mesej dan maklumat Lajnah Penerangan secara jelas dan tepat mengikut aliran kerjanya.

Selain Kamaruzaman, panel pembentang terdiri daripada wakil Jabatan Penerangan PAS Pusat, Mohd Shuhaimi Embong dan Haznizul Ahamad Shukery.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya pula berkata, konvensyen ini adalah proses memberi kesedaran kepada para amilin dan ahli agar bijak menggunakan teknologi ke arah kebaikan.

“Gajet adalah alat. Hari ini musuh menyalahgunakannya untuk menyerang dan memburukkan kerajaan. Kita lawan arus itu, guna gajet untuk menerang kebaikan dan menangkis segala fitnah dan tohmah musuh.

“Kita semua adalah agen penerangan yang berfungsi menyalur dan menyebar maklumat betul dan sahih di pihak kerajaan mahupun parti. Kita mahu rakyat nampak hanya islam mampu memimpin perpaduan,” ucap ADUN Panching itu selaku tuan rumah.

Konvensyen ini telah dihadiri Jawatankuasa Lajnah Penerangan dan Media Baharu (LPMB) Negeri juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri, Yusma Yusoff.

Turut serta adalah Jawatankuasa Perhubungan Negeri diwakili Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Timbalan Pesuruhjaya, Andansura Rabu.

Turut telibat adalah wakil Jabatan IT dan Jabatan Pilihanraya Negeri dan Kawasan serta Dewan-Dewan, Ketua dan Setiausaha di peringkat Kawasan dan Cawangan serta Penyelaras Parlimen dan DUN.

Konvensyen perdana telah berlangsung pada 18 dan 19 Jun lalu dan Pahang adalah negeri kelima selepas Terengganu, Selangor, Kedah dan Kelantan meneruskan kesinambungan program di peringkat negeri. – HARAKAHDAILY 20/7/2021

- Advertisement -